HSBC Group

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) menang kes terhadap HSBC Bank Malaysia Berhad (HSBC) berhubung dua pekerjanya,  Sarimah Awang Senik dan Sethupaty Thiaganajan yang dipecat.

Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon berkata, keputusan Mahkamah Perusahaan dikeluarkan pada 2 Februari lalu.

Menurutnya, Pengerusi Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur, Rajeswari Karupiah memerintahkan supaya jawatan asal kedua-duanya dikembalikan dalam tempoh 30 hari dari tarikh award diberikan.

“Atas alasan bahawa kenyataan meremehkan yang didakwa dibuat oleh kedua-dua mereka itu yang membawa kepada pemecatan oleh HSBC Bank dibuat sebahagian daripada pertikaian perusahaan dianjurkan oleh NUBE,” kata Solomon.

Mahkamah Perusahaan memutuskan Seksyen 22(1) Akta Kesatuan Sekerja 1959 tidak meletakkan sebarang pengecualian atau had mengenai perkataan yang mungkin dipilih oleh Kesatuan atau ahli Kesatuan atau bahawa perkataan perlu mematuhi piawaian kewajaran tertentu agar berada dalam lingkungan perlindungan Seksyen 22(1) Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Sarimah dan Sethupaty Thiaganajan telah dipecat atas alasan mengambil bahagian dalam aktiviti kesatuan sekerja empat tahun lalu.

“Selepas mempertimbangkan dengan teliti kertas kausa dan perbicaraan, Mahkamah Perusahaan telah memberi keputusan yang memihak kepada Sarimah dan Sethupaty.

“Dan telah memerintahkan supaya pihak yang menuntut itu dikembalikan semula ke jawatan asal mereka atau yang setara di HSBC Bank tanpa kehilangan kekananan, perkhidmatan, bonus dan faedah lain, monetari atau selainnya termasuk pelarasan gaji dan kenaikan yang mereka akan peroleh sekiranya tidak dipecat oleh bank,” katanya.

Kedua-dua pekerja tersebut telah memfailkan tuntutan berhubung pemecatan yang tidak adil pada tahun 2019.

Katanya, mereka telah berpegang kepada Seksyen 22(1) Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang memberikan kekebalan kepada kesatuan sekerja dan ahlinya terhadap sebarang tindakan yang dibuat dalam bidang tort bagi tuntutan mereka di Mahkamah Perusahaan.

Sarimah merupakan Jurubank Perkhidmatan Pelanggan dan Sethupaty sebagai Kerani Am masing-masing telah berkhidmat di HSBC sejak 1997 dan 1996.- MalaysiaGazette