Timbalan Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Mohammad Farhan Jailani (tiga kiri) dan Presiden Global Human Rights Federation (GHRF), S. Shashi Kumar (dua kanan) menyerahkan memorandum kepada Pegawai Khas Pejabat Perdana Menteri (PMO), Muhammad Fikri Khalid (tengah) mengenai Tuntutan Pengeluaran Kecemasan KWSP 2.0 secara Bersasar diluluskan dengan segera di pekarangan Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 17 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Kira-kira 320,000 pencarum yang mempunyai baki lebih RM100,000  dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengulangi gesaan supaya kerajaan meluluskan pengeluaran bersasar sekali lagi.

Presiden Global Human Rights Federation (GHRF), S. Sashi Kumar berkata, kerajaan tidak sepatutnya memainkan sentimen pencarum yang mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 untuk tidak membenarkan pengeluaran.

Ini kerana hakikatnya hari ini masih ramai yang mempunyai banyak simpanan namun berhadapan kemelut hutang dan kos sara hidup, katanya.

“Bukan semua pencarum nak keluar, rakyat Malaysia matang boleh fikir apa terbaik untuk mereka dan keluarga. Sehingga hari ini pun rakyat berdikari sendiri.

“Kita tidak mahu merayu tapi dengarlah kerajaan. Kerja kerajaan sepatutnya jaga rakyat, hari ini ramai yang tidur dalam kereta kerana tidak mampu bayar sewa rumah, berhutang dan banyak lagi,” katanya.

Terdahulu tiga badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan memorandum tuntutan pengeluaran kecemasan KWSP bersasar kepada Pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tiga NGO berkenaan adalah Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) termasuk GHRF.

Memorandum berkenaan diterima oleh Pembantu Khas Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Muhammad Fikri Khalid.

Menurut Sashi, kerajaan sepatutnya bertanggungjawab mendengar luahan dan rintihan rakyat yang memerlukan bantuan.

Ujarnya lagi, masih ramai yang berhutang demi kelangsungan hidup walaupun mempunyai simpanan KWSP yang banyak.

“Datuk Seri Ahmad Maslan (Timbalan Menteri Kewangan) berkata KWSP tidak dibenarkan dikeluarkan takpalah, rumahnya besar. Dapat elaun, minyak kereta kerajaan bayar, bil elektrik kerajaan bayar.

“Kerajaan perlu ingat, tanpa rakyat kerajaan tidak akan ada. Memang tugas kerajaan untuk berkhidmat dengan rakyat.

“Selalunya NGO yang turun dengar masalah rakyat. Mana ada ahli Parlimen yang sanggup duduk berjam-jam untuk dengar masalah rakyat?” soalnya.

Sebelum ini, Ahmad Maslan memohon maaf atas sebarang kesulitan berikutan keputusan kerajaan tidak membenarkan pengeluaran sekali lagi KWSP.

Jelas beliau, simpanan hari tua yang telah susut 50 peratus berikutan kebenaran pengeluaran sebanyak empat kali perlu ditambah.

Perdana Menteri sebelum ini berkata, kerajaan sedang mencari alternatif lain daripada pengeluaran KWSP untuk membantu rakyat.- MalaysiaGazette