KUALA LUMPUR – Mantan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berjaya merebut jawatan naib presiden kelima Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), menerusi kemenangan tipis hari ini.
Khairy, selaku Presiden Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS), meraih 33 undi untuk menduduki tempat kelima dalam pertembungan 10 penjuru pada Pemilihan Jawatankuasa Tertinggi PKBM bagi penggal 2023-2026 yang diadakan di Melaka.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh PKBM, Khairy berkata, kini tiba masa untuk beliau berkhidmat kepada sukan berbasikal dan membantu badan induk berbasikal negara itu.
“Nasib baik saya menang pemilihan ini. Kalau tak maknanya saya kalah semua pertandingan,” katanya secara berseloroh.
Sementara itu, pentadbir sukan antarabangsa, Datuk Amarjit Singh menang besar apabila meraih hampir 100 peratus undi selepas menerima 71 daripada 72 undi untuk muncul naib presiden 1 PKBM.
Amarjit, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), mengaku sangat terkejut dengan pencapaian dicapainya dan berterima kasih kepada semua perwakilan negeri yang mempercayai kebolehannya untuk terus memberi sumbangan kepada PKBM.
“Ini menunjukkan perwakilan negeri percaya saya boleh memberi sumbangan positif kepada sukan berbasikal. Pada waktu sama, saya akan menjaga kepentingan UCI dan ACC (Konfederasi Berbasikal Asia) dengan baik,” katanya.
Perebutan jawatan Timbalan Presiden, menyaksikan kejutan terbesar apabila penyandang Yunus Ibrahim dari Negeri Sembilan gagal untuk mempertahankan jawatannya, selepas hanya memperoleh 26 undi berbanding 45 yang diraih Mazlan Md Jail.
“Saya sangat terkejut, namun, saya percaya ini adalah satu keputusan daripada semua perwakilan negeri. Saya anggap ini hari bertuah kepada diri saya dan berjanji akan bekerjasama erat membantu presiden PKBM (Datuk Abu Samah Abd Wahab),” katanya.
Dalam pada itu, Abu Samah yang mempertahankan jawatan tanpa dicabar, berharap semua pelumba, khususnya jaguh trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang akan meneruskan kecemerlangan di Sukan Olimpik Paris 2024 tahun depan.
Beliau berkata, sebagai permulaan, Kejohanan Lumba Basikal Asia (Trek) 2023 di Velodrom Nasional, Nilai akan menjadi medan terbaik untuk Mohd Azizul menyerlahkan kehebatannya, sekali gus meraih lebih banyak mata kelayakan Sukan Olimpik 2024.
Abu Samah menjelaskan PKBM akan menganjurkan 76 kejohanan bertaraf antarabangsa termasuk Jelajah Malaysia, Le Tour de Langkawi, Tour of Femina dan Tour of Peninsular pada tahun ini.
Senarai Penuh Pemilihan Jawatankuasa Tertinggi PKBM Penggal 2023-2026:
Presiden: Datuk Abu Samah Abd Wahab (menang tanpa bertanding)
Timbalan Presiden: Mazlan Md Jail (45 undi)
Naib Presiden 1: Datuk Amarjit Singh (71)
Naib Presiden 2: Mohd Saiful Abd Jalil (54)
Naib Presiden 3: Dr Zaim Ahmad (46)
Naib Presiden 4: Norazman Abu Samah (42)
Naib Presiden 5: Khairy Jamaluddin (33) – Bernama