Mohd Puad Zarkashi waris sultan sulu ventilator keadilan najib sistem rahmah
Mohd. Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Isu 93 unit ventilator yang dibekalkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2021 tidak dapat digunakan merupakan satu lagi contoh salah laku tata kelola kewangan yang menyebabkan ketirisan dana awam berlaku.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sebelum ini, negara dikejutkan dengan berita enam juta dos vaksin penggalak Covid-19 tidak digunakan dan terpaksa dilupuskan.

Beliau seterusnya mempersoalkan mengenai pembaziran yang berlaku akibat kedua-dua isu berkenaan.

“Masalahnya ia berlaku ketika pentadbiran darurat di bawah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Di bawah darurat ketidaktelusan berlaku. Tidak ada pihak yang dapat memantau apatah lagi Parlimen digantung,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Beliau mengulas mengenai isu tersebut seperti yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, Khamis lalu.

Kerugian yang ditanggung kerajaan akibat masalah berkaitan 93 unit ventilator itu dianggarkan berjumlah RM13.07 juta.

KKM dalam maklum balas kepada Jabatan Audit Negara bertarikh 7 Oktober 2022 menyatakan, kesemua ventilator tersebut telah dicadangkan untuk dilupuskan kepada Pusat Latihan Teknikal bagi tujuan kemahiran dan latihan.

Mohd. Puad berkata, pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini berhubung dakwaan salah laku tata kelola semasa pentadbiran Muhyiddin adalah sesuatu yang amat serius.

Beliau juga berharap agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat isu tersebut secara telus dan terperinci.

“Jangan ada pihak yang terlepas. KKM mesti bertanggungjawab dalam isu ini. Dakwa segera jika wujud khianat dan rasuah,” tegasnya.

MalaysiaGazette telah menghubungi syarikat yang membekalkan ventilator kepada KKM namun setakat ini, masih belum ada maklum balas. – MalaysiaGazette