Dr. Zambry Abdul Kadir.

KUALA LUMPUR – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir memulakan lawatan rasminya ke Arab Saudi hari ini.

Lawatan lima hari ke negara Asia Barat itu sehingga 23 Februari depan adalah yang pertama sejak menjawat jawatan Menteri Luar Negeri pada 2 Disember lalu.

Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan itu menggambarkan hubungan istimewa Malaysia-Arab Saudi selama ini di samping komitmen kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap hubungan dua hala.

Katanya, Zambry diiringi para pegawai kanan kerajaan dari Wisma Putra sepanjang lawatan.

“Menteri dijadual bertemu rakan sejawatan, Menteri Luar Negeri Arab Saudi, Putera Faisal Farhan bagi menyusuli perbincangan memperkukuhkan lagi kerjasama dua hala kedua negara.

“Ini termasuk penganjuran Saudi-Malaysian Coordination Council (SMCC), selain menerokai kerjasama dalam bidang-bidang baharu.

“Menteri juga akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Pelaburan Arab Saudi, Khalid A. Al-Falih untuk menerokai potensi kerjasama ekonomi baharu antara Malaysia dan Arab Saudi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, Zambry akan turut mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Jasem Mohamed Albudaiwi di Riyadh bagi menyusul perbincangan berkenaan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC yang akan dianjurkan tahun ini.

Sepanjang lawatan itu juga, menteri dan rombongan dijadual mengadakan pertemuan berasingan bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Hissein Brahim Taha di Jeddah dan Setiausaha Agung Liga Muslim Dunia, Sheikh Dr. Mohammed Al-Issa di Riyadh.

Ketika lawatan itu, menteri akan mengadakan sesi pertemuan bersama ahli perniagaan Malaysia di Riyadh dan Jeddah yang dijangka menjadi platform untuk meneroka kerjasama perniagaan dan pelaburan baharu khususnya di Arab Saudi.

Arab Saudi kekal sebagai rakan dagang Malaysia terbesar dan sumber import terbesar di rantau Asia Barat.

Pada tahun 2022, jumlah dagangan dua hala dengan Arab Saudi telah mencecah RM45.52 bilion (USD10.26 bilion), peningkatan sebanyak 159.2 peratus berbanding RM17.56 bilion (USD4.23 bilion) pada tahun 2021. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast