Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perhimpunan Bersama Masyarakat India di IDCC Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 SEPTEMBER 2022. - Gambar hiasan.

AURA Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi daya tarikan masyarakat India apatah lagi selepas bergelar Perdana Menteri setelah sekian lama.

Tokoh yang mendambakan pembentukan Masyarakat Madani dan teruji dengan pelbagai dugaan perjuangan, beliau dilihat sebagai talian hayat dan harapan terkini masyarakat India.

Justeru, apakah bajet yang bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pada 24 Februari akan datang sebenarnya mampu memberi sinar harapan kepada masyarakat India?

Apakah Anwar akan mengotakan janjinya bagi membantu masyarakat India dan tidak akan dipinggirkan dalam arus pembangunan negara malah akan diperkasa?

Apakah akan diperkenalkan pelbagai inisiatif khusus bagi membantu masyarakat India dalam Bajet 2023?

Baik sekiranya perdana Menteri memperkenalkan dasar yang memberi impak kepada masyarakat India –  mampu membawa anjakan baru kepada komuniti India.

Juga, mekanisme khas hendaklah diwujudkan supaya kaum India dapat menyertai program dan projek-projek kerajaan.

Terbaharu, Timbalan Presiden MIC merangkap Ahli parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan melahirkan rasa positif dan harapan tinggi agar komuniti India akan terus mendapat perhatian perdana menteri.

Masyarakat India mengharapkan kerajaan mengambil pendekatan inklusif dengan membentuk Jawatankuasa Khas Kabinet Masyarakat India bagi memastikan perancangan jangka pendek dan panjang.

Pengumuman Anwar sewaktu Bajet 2023 akan menjawab setakat mana beliau memahami denyutan nadi masyarakat India dan bersedia bagi menurut kehendak komuniti tersebut.

Tiada siapa yang boleh menafikan perjuangan beliau untuk masyarakat termiskin. Adalah diharapkan Anwar akan mengumumkan sesuatu yang “luarbiasa” dalam Bajet 2023 yang mampu  mengangkat martabat masyarakat India.​

Indians among country’s poorest but leaders filthy rich, itu antara ucapan beliau sewaktu kempen PRU-15.

Sebelum ini, beliau pernah berkata, kerajaan Barisan Nasional sebelum ini menggunakan kaedah yang salah dalam menyelesaikan isu kemiskinan dan kemelaratan masyarakat India.

Umum diketahui, peratusan besar masyarakat India terpinggir dan mundur dan dibelenggu kemiskinan walaupun sudah lama negara ini mencapai kemerdekaan. Majoriti komuniti ketiga terbesar di negara ini berterusan berada di tangga B40.

Peningkatan ketara dilihat dalam kalangan pengundi India dalam PRU-15 di mana hampir 80 peratus mengundi kepada calon Pakatan Harapan.

Sebagai tokoh yang kita lihat jiwa meronta melihat kedaifan masyarakat di kawasan perumahan PPR, desa terpencil dan estet, amatlah diharapkan Anwar akan memahami nadi di mana pelbagai isu kritikal menghantui masyarakat India seperti isu sekolah Tamil, kedaifan, isu kewarganegaaraan dan dokumentasi, pengambilan ke dalam sektor perkhidmatan awam walaupun berdasarkan merit, pemilikan ekuiti dan sebagainya.

Masyarakat India mahukan program-program konkrit berhubung pembangunan dan bukan piecemeal solution (sedikit demi sedikit).

Masyarakat India adalah salah satu kaum utama di negara ini yang membentuk sistem kemasyarakatan negara. Sejarah membuktikan bahawa kaum India  telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kekayaan budaya di negara ini.

Semoga Bajet 2023 mengubat kerinduan pengundi kaum  di seluruh negara yang menanti sekian lama untuk melihat Anwar Ibrahim memerintah negara. – MalaysiaGazette

M Vivekananthan

M.Vivekananthan adalah penganalisa politik. Beliau berkhidmat hampir 30 tahun dalam kerajaan, kementerian, agensi kerajaan dan pernah berkhidmat kepada menteri dan beberapa timbalan menteri sebagai setiausaha sulit.