MELAKA – Selepas 12 hari dilaporkan hilang, satu mayat lelaki dipercayai komando Lans Koperal Edrin Daintin, 25, ditemukan di pantai bakau Tanjung Sepat, Banting, Selangor pagi tadi.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi hari ini.
“Makluman awal (mayat) dijumpai di Pantai Bakau Tanjung Sepat, Banting, Selangor, namun identiti masih belum dapat disahkan setakat ini.
“Bagaimanapun, sangat positif mangsa adalah Edrin memandangkan pakaian selaman yang dipakai walaupun keadaan mayat tidak lengkap ketika ditemui.
“Sebarang pengesahan akan ditentukan selepas mendapat keputusan bedah siasat dan akan dimaklumkan kemudian,” katanya ringkas dalam kenyataan kepada media.
Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, maklumat penemuan diterima pagi tadi.
“Ya, kami dapat makluman dari pihak polis jumpat satu mayat di Tanjung Sepat, bagaimanapun maklumat lanjut sedang diperolehi dari pihak polis,” katanya.
Pada 7 Februari lalu, MalaysiaGazette melaporkan Lans Koperal Edrin Daintin, 25, yang bertugas di Unit Skuadron Bot Kombatan Rejimen 22 Komando Kem Iskandar Mersing, Johor hilang pada jam 5.15 petang ketika sedang menjalani latihan selam di kedudukan 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan.
Turut bersama mangsa ketika kejadian adalah enam pegawai dan 37 anggota lain-lain pangkat dari Kem Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Sungai Udang Melaka. – MalaysiaGazette