Foto yang dikongsi di FB Aslam Wira

KUALA LUMPUR – Kekecohan di media sosial terutama di Twitter mengenai perarakan ‘Mujahidin Marang’ dalam Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) dijawab oleh Pegawai Media Menteri Besar Terengganu, Aslam Wira.

Menurut beliau, tidak sewajarnya perarakan yang membariskan sekumpulan lelaki berpakaian pahlawan Islam sambil memegang replika tombak dan pedang itu mendatangkan perasaan pelik.

“Mereka memang cepat terpegun. Ramai walanon, PAN dan macai tak kenal senjata mematikan dan replika. Beza sungguh walanon dan macai sebelum jadi kerajaan dan selepas jadi kerajaan.

“HIMPIT ini 30 tahun sudah buat, sejak 1991 lagi. Setiap kali program Himpunan Pemuda Islam Terengganu ini dibuat akan ada pertandingan replika, khemah dan konvoi terbaik,” jelas beliau.

Foto yang dikongsi di FB Aslam Wira

Tambah Aslam, pada 2019, Dewan Pemuda Pas Marang telah membina replika kereta kebal yang boleh dimasuki dan dipandu seperti kenderaan betul.

Selain perarakan, bermacam-macam aktiviti diadakan termasuk pertandingan, sukan, riadah, makan ramai-ramai, solat jemaah, berkhemah dan lain-lain, katanya.

“Tapi dulu dia orang ini mungkin rasa tak tergugat lagi, sebab dia orang tengah syok diulik kemenangan. Tak sempat nak fokus sangat nak hentam Pas.

“Sekarang bila sudah jadi kerajaan semula, walanon dan macai bergabung sebab takutkan Pas dan PN (Perikatan Nasional). Mungkin sebab feedback daripada PRU15 sudah teruk sangat.

“Terima kasihlah, promosikan HIMPIT ini, Pemuda Pas Terengganu setiap tahun ada buat. Anak muda boleh pakat join,” katanya.

Selain memegang tombak dan pedang replika, kumpulan itu turut membawa perisai dan sebuah kenderaan pacuan empat roda turut membawa pedang gergasi yang tertulis kalimat syahadat.

Foto dari FB Aslam Wira

Perarakan tersebut mendapat perhatian warganet yang mempersoalkan kewajaran kumpulan itu membawa senjata dalam perarakan.

“Cuba kaum lain buat macam ini. Sifat extreme pihak ini wajib kita tentang. KDN (Kementerian Dalam Negeri) harap ambil tindakan. Undang-undang tak kira siapa pun. Sedangkan perarakan maulid nabi ummah pertahankan nabi serta demo menentang hinaan ke atas junjungan Nabi Muhamad SAW pun tak ada pun sampai tahap ghuluw macam ini,” kata @lady_bugg11.

“Terdapat percubaan untuk merampas Islam dengan imej dan naratif tertentu oleh parti politik seperti Pas untuk memajukan kepentingan politik parokial sempit mereka. Dalam masa yang sama menyelewengkan Islam.

“Sebagai orang Islam kita tidak boleh membenarkan ini. Kita perlu menyediakan naratif Islam yang sebenar,” kara @raishussin.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast