Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bergambar bersama yang lain semasa hadir untuk menaiki bas RapidKL secara percuma ke Bangunan Parlimen dari KL Sentral, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 20 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 2,000 kenderaan memasuki kawasan Parlimen setiap hari sepanjang persidangan Dewan Rakyat berlangsung.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bagaimanapun hanya 500 parkir yang terdapat di kawasan tersebut dan ia ternyata tidak mampu menampung kenderaan yang masuk setiap hari.

Berikutan itu, katanya, Kementerian Pengangkutan (MOT) mengambil inisiatif dengan menyediakan perkhidmatan bas perantara dari KL Sentral ke Parlimen secara percuma setiap hari semasa Dewan Rakyat bersidang.

Jelas beliau, inisiatif itu bagi membantu dan memudahkan wakil rakyat, kakitangan Parlimen, pegawai dan pengamal media daripada menghabiskan masa kira-kira sejam setiap hari untuk mencari tempat letak kereta dan beratur di pintu keselamatan.

“Kadang-kadang ada yang beritahu terpaksa beratur sejam untuk masuk bangunan ini. Jadi kita mahu memudahkan mereka kerana kita faham hari sebelumnya bertugas sehingga lewat malam ini sudah tentu menjejaskan kualiti masing-masing. Jadi dengan ini kita dapat kurangkan kesesakan di Parlimen.

“Kita berikan alternatif ini dalam masa sama kita menggalakkan penggunaan pengangkutan awam,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek rintis, perkhidmatan bas pengantara yang bermula hari ini.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.

Sebanyak dua buah bas Rapid KL digunakan sebagai perantara setiap hari semasa persidangan Dewan Rakyat dengan kekerapan 30 minit.

Bas perantara berkenaan akan berhenti di Taman Botani sebelum ke Parlimen untuk mengambil penumpang yang meletakkan kenderaan di kawasan itu.

Jelas Anthony, Kementerian Pengangkutan menanggung kos sewa sebanyak RM800 sehari bagi sebuah bas.

Sementara itu, beliau menyarankan wakil rakyat menyambut baik inisiatif berkenaan dengan turut menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Jadi kalau wakil rakyat pun gunakan perkhidmatan bas perantara ini kita dapat sampaikan mesej kepada orang awam di luar untuk turut menggunakan pengangkutan awam,” tambah beliau.

Mengulas lanjut Athony berkata, Kementerian Pengangkutan akan mempertimbangkan maklum balas terhadap perkhidmatan tersebut sebelum memutuskan sama ada ia wajar diteruskan dengan penambahbaikan tertentu atau sebaliknya.-MalaysiaGazette