SEGAMAT – Kerajaan negeri Johor merancang membina sekurang-kurangnya dua buah jeti terapung setiap tahun bagi membantu nelayan darat memungah hasil tangkapan.
Jeti tersebut tidak mudah rosak akibat kejadian air pasang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Datuk Zahari Sarip berkata, sehingga kini sebanyak empat jeti terapung di Batu Pahat, Kota Tinggi, Muar dan Segamat siap dibina.
Beliau yang juga ADUN Buluh Kasap berkata, jeti yang terbaharu dibina di Kampung Seberang Batu Badak, Segamat dengan anggaran kos sebanyak RM100,000 akan memberi manfaat kepada kira-kira 40 nelayan darat.
“Projek pembinaan jeti terapung ini akan mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk disiapkan dan apabila siap kelak para nelayan di sini akan mempunyai tempat khusus untuk menaikkan hasil tangkapan serta meletakkan bot masing-masing dengan lebih teratur.
“Selain itu, jeti ini juga akan memudahkan nelayan ketika fenomena air pasang dan juga banjir.
“Pembinaan jeti terapung terbabit pada masa akan datang akan mengutamakan kawasan yang kerap dinaiki air bertujuan jeti yang dibina tidak rosak, dan lebih mudah digunakan apabila berlaku kejadian berkenaan,” katanya ketika melawat tapak pembinaan jeti terapung di Kampung Seberang Batu Badak, di sini, hari ini.
Sementara itu, Zahari berkata, beberapa inisiatif lain turut dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk membantu menambah pendapatan nelayan darat seperti pembenihan ikan air tawar bagi menambah pendapatan mereka.
Katanya, selain program pembenihan ikan air tawar, Jabatan Pertanian negeri juga telah melepaskan 70,000 ekor anak udang di Sungai Muar berhampiran Kampung Awat.
“Kita juga merancang untuk menjalankan projek ternakan ikan sangkar, membabitkan ikan baung di Muar dan kita telah kenal pasti para pesertanya,” katanya sambil menambah sebanyak 600,000 ekor anak ikan dilepaskan di sungai-sungai di Johor pada tahun lalu. – MalaysiaGazette