Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penemuan seorang lelaki  ditemui dalam keadaan tangan, kaki terikat dan kesan kecederaan di kepala dan badan dalam kebun buah naga miliknya di Tanah Merah, Port Dickson, Negeri Sembilan pada Sabtu lalu akhirnya terungkai.

Polis percaya telah berjaya menyelesaikan kes tersebut dengan tertangkapnya empat lelaki asing warga Myanmar yang disyaki mendalangi dan membunuh mangsa berusia 44 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata,  pada 18 Februari lalu,pihaknya telah dimaklumkan oleh  bapa  si mati bahawa anaknya telah meninggal dunia di sebuah kebun buah Naga Site A, Tanah Merah.

Katanya, polis telah membuka kertas siastan mengenai kematian itu.

“Siasatan awal mendapati si mati ditemui dalam keadaan tertiarap dan tidak berbaju serta hanya memakai seluar warna hitam manakala kedua- dua belah tangan dan kaki terikat dengan tali.

“Pembantu Pegawai Perubatan Klinik Bukit Pelandok  telah mengesahkan mangsa telah meninggal dunia namun punca kematian tidak diketahui dan menyerahkan mayat kepada  polis untuk melakukan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Aidi, si mati mengusahakan kebun buah naga milik keluarganya selama lebih kurang lima tahun dan tinggal di dalam kebun tersebut.

Pemeriksaan forensik ke atas tubuh badan mangsa menjumpai sebuah dompet yang mempunyai dokumen pengenalan diri.

“Polis juga berjaya mengesan kecederaan di bahagian kepala dan belakang badan mangsa sementara barangan lain milik mangsa iaitu sebuah telefon bimbit dan motosikal jenis SMSport gagal dijumpai di kawasan kebun dan disyaki telah dilarikan oleh suspek.

“Kali terakhir si mati dilihat oleh bapanya semasa datang menghantar makanan kepada anaknya itu pada Jumaat lalu jam lebih kurang pukul 6 petang,” katanya lagi.

Tegasnya lagi, pada masa sama polis telah mengambil keterangan daripada keluarga si mati bagi membantu siasatan.

Hasilnya mendapati keluarga mangsa memaklumkan  anak mereka telah menggaji seorang pekerja warga Myanmar yang bekerja lebih kurang dua minggu bersamanya di kebun terbabit namun butiran peribadi  tdak diketahui dan telah menghilangkan diri sejak kematian mangsa.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk menjalani proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Bertindak atas maklumat keluarga mangsa, pada Ahad pagi sepasukan polis  telah membuat tangkapan terhadap suspek empat lelaki Myanmar di Shah Alam, Selangor.

“Ekoran daripada tangkapan tersebut, pada hari yang sama  polis   menemui semula sebuah motosikal milik si mati yang telah disorokkan suspek di sebuah kebun kelapa sawit Site A, Tanah Merah, Port Dickson.

“Kesemua suspek berumur lingkungan 19 hingga 49 tahun dan tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan siasatan awal mereka mengaku terlibat dalam kes pembunuhan dan motif pembunuh disyaki kerana dendam,” katanya lagi.

Beliau juga memberitahu polis yakin dengan penangkapan keempat-empat suspek tersebut telah berjaya menyelesaikan kes pembunuhan pengusaha kebun buah naga dalam tempoh kurang 24 jam.

Kesemua suspek berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson  untuk permohonan perintah reman bagi membantu siasatan lanjut kes tersebut. – MalaysiaGazette