Saidatul Aina Ahmad

KUANTAN – “Sepatutnya dia (adik) menjadi wali  pernikahan saya minggu depan, tapi hasratnya tak kesampaian.”

Itu luahan kakak kepada seorang remaja lelaki yang dikhuatiri lemas di Pantai Teluk Cempedak di sini petang ini.

Saidatul Aina Ahmad, 23, ketika ditemui memberitahu yang dia menerima panggilan daripada bomba pada pukul 3 petang berkenaan adiknya, Muhammad Ikhmal Hakim Ahmad, 19, yang dipercayai lemas di pantai tersebut.

 

“Lepas dapat panggilan saya cuba telefon dia (adik) untuk mengesahkan berita itu. Kalau dia angkat, lega sikit. Tapi pihak bomba yang angkat. Terus saya datang ke sini,” katanya.

Menurut Aina yang merupakan anak ke tujuh daripada lapan beradik, adiknya itu tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik sebelum kejadian.

Namun sejak awal tahun ini, Ikhmal selalu mengajaknya ke pantai kerana ia dapat menenangkannya.

“Sejak dua menjak ini dia rajin ajak pergi pantai. Hari tu saya bawa dia ke Pantai Batu Hitam. Dia suka ke pantai. Kadang-kadang dia akan pergi dengan kawan-kawan. Tak tahu pula jadi macam ini,” luahnya.

Dia yang paling rapat dengan Ikhmal juga tidak dapat menahan sebak apabila mengenangkan hasrat adik kesayangan yang teruja untuk menjadi wali ketika pernikahannya pada 26 Februari ini tidak kesampaian.

“Sejak dapat tahu dia akan jadi wali saya, dia teruja dan beberapa kali membuat latihan, tak kira di rumah atau di tempat kerja. Ini kali pertama dia jadi wali selepas ayah meninggal dunia pada 2012,” katanya sambil mengesat air mata.

Operasi mencari dan menyelamat Ikhmal dihentikan sekitar jam 6 petang ekoran air pasang dan dijangka bersambung semula pagi esok. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Remaja dikhuatiri lemas di Teluk Cempedak, dua rakan selamat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast