Singer and composer, Yasin Sulaiman is charged at the Petaling Jaya Sessions Court with growing 17 cannabis plants in his house at Kota Damansara. PIX: AMIRUL SHAUFIQ / MalaysiaGazette / 18 MAY 2022.
Yasin Sulaiman. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 18 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dekat sini menetapkan 6 Mac depan bagi memberikan keputusan representasi kedua yang dikemukakan oleh penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman bagi mengkaji tiga pertuduhan berkaitan dadahnya.

Pada tarikh itu juga perbicaraan dadah berkaitan penyanyi itu akan bermula selama 15 hari oleh Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asnawi Abu Hanipah pula memaklumkan representasi kedua masih dipertimbangkan oleh peringkat tertinggi Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Sebarang perkembangan berkaitan akan dimaklumkan di mahkamah pada hari prosiding kelak,” katanya pada sebutan kes hari ini.

Yasin agak bernasib baik apabila tidak berdepan dengan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram pada 6 Julai lepas.

Ketika itu pendakwaan memaklumkan pertuduhan mengedar ditarik balik dan Yasin dituduh dengan pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

Mengikut pertuduhan, Yasin didapati dalam miliknya dadah berbahaya jenis kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondomonium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu.

Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Yasin juga didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam hari sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette