KUALA LUMPUR – Dana asing kembali ke pasaran domestik selepas membeli sebanyak RM195.3 juta ekuiti minggu lepas.

Sebelum itu, pelabur asing telah melupuskan selama lima minggu berturut-turut dengan aliran keluar bersih berjumlah RM860.9 juta.

Sepanjang minggu lalu, pelabur asing menjadi pembeli di Bursa Malaysia kecuali hari Jumaat yang meyaksikan aliran keluar sebanyak RM25.9 juta.

MIDF Research berkata, setakat ini, pelabur asing telah menjual sejumlah RM593.3 juta.

Jumlah aliran masuk bersih tertinggi adalah pada hari Rabu sebanyak RM103.2 juta manakala Khamis adalah yang kedua tertinggi RM74.4 juta dari segi belian bersih.

Sektor yang menyaksikan aliran masuk asing bersih minggu lepas ialah penjagaan kesihatan RM56.5 juta, pembinaan RM41.6 juta dan perkhidmatan kewangan RM40.2 juta.

Sementara itu, sektor yang menyaksikan aliran keluar bersih asing ialah perladangan (RM18.8 juta), utiliti (RM12.4 juta) dan hartanah (RM6.4 juta).

Firma penyelidikan itu berkata, pelabur institusi pula telah menjual RM140.2 juta ekuiti Malaysia selepas pembelian bersih lima minggu berturut-turut.

Hanya hari Selasa mencatat aliran masuk bersih RM16.2 juta, manakala baki minggu mencatatkan aliran keluar.

Aliran keluar paling ketara pada hari Rabu sejumlah RM53.2 juta.

Setakat ini, institusi tempatan telah membeli bersih RM819.8 juta.

Manakala pelabur runcit merupakan penjual bersih minggu lepas dengan jumlah RM55.1 juta, perubahan mendadak daripada RM263.8 juta yang dibeli pada minggu berakhir 10 Februari 2023.

Hanya hari Isnin dan Jumaat menyaksikan aliran masuk bersih masing-masing RM7.0 juta dan RM40.1 juta.

Setakat ini, peruncit tempatan adalah penjual bersih sebanyak RM226.6 juta.

Dari segi penyertaan, terdapat penurunan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) dalam kalangan tempatan peruncit (-14.9%), institusi tempatan (-16.0%) dan pelabur asing (-12.3%). – MalaysiaGazette