KUALA LUMPUR – Seorang peniaga diberkas dan direman polis selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung satu video tular yang memaparkannya memegang sepucuk pistol dalam keadaan tangan bergari pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Delhan Yahaya berkata, seorang lelaki warga tempatan itu berjaya dicekup setelah pihaknya menerima laporan berkaitan video tersebut di media sosial.
“Susulan video tular itu dikesan, polis telah segera membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Suspek juga sedang disiasat mengikut, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki peralatan polis tanpa kebenaran dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960 atas kesalahan memiliki atau membawa senjata tanpa permit sah.
Jika sabit kesalahan seseorang itu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Tambah Noor Dellhan, siasatan lanjut polis kemudian berjaya membawa kepada serbuan dan penahanan suspek lelaki berusia 46 tahun itu diibu negara.
Hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek turut membantu polis merampas beberapa peralatan dipercayai berkaitan dengan video yang tular itu selain berjaya merampas sebuah telefon bimbit dan seutas jam tangan berjenama untuk tindakan lanjut.
Suspek kini berjaya direman selama empat hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan lanjut polis.
“Polis juga sedang menyiasat sumber dan bagaimana pistol dan gari itu boleh diperoleh oleh suspek serta motif menunjukkan pistol dalam keadaan kedua-dua tangan bergari dalam keretanya seperti dipamerkan dalam video tular,” ujarnya.
Polis kini dalam proses untuk melengkapkan kertas siasatan dan seterusnya ia akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat untuk arahan tindakan lanjut dalam kes berkenaan.
Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak sesekali terlibat dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil berlunaskan undang-undang yang diperuntukkan.
Pada Jumaat lalu, tular video di laman sosial memaparkan seorang individu memegang pistol dalam keadaan tangan bergari sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dan kecaman netizen dalam media sosial.
Video ringkas berdurasi lima saat itu memaparkan suspek dalam keadaan tangan bergari memegang pistol tersebut. -MalaysiaGazette