Mohd Azlan (Tengah) di Majlis Perubatan dan Pelancongan Johor di sebuah hotel di Seri Iskandar hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Tourism Johor menjangka sektor perubatan dan pelancongan kesihatan di negeri itu akan terus stabil dan mampu mengatasi rekod pencapaian pendapatan RM100 juta yang direkodkan sebelum pandemik Covid-19 lalu.

Timbalan Pengarahnya, Dr. Mohd. Azlan Ab. Jalil berkata, ia berdasarkan sektor itu dilihat semakin berkembang dengan mencatatkan pertambahan pengunjung yang tertarik mendapatkan pemeriksaan dan rawatan kesihatan di Johor kerana caj yang murah.

Kerajaan negeri turut menjangka kira-kira 10,000 pelancong khususnya dari Indonesia, China, India, Vietnam dan Korea Selatan akan berkunjung ke negeri itu bagi mendapatkan perkhidmatan perubatan dan kesihatan di hospital swasta yang bertaraf antarabangsa.

“Sebelum pandemik melanda, pendapatan itu direkodkan kira-kira RM100 juta manakala dan pada tahun lalu pula kita  mencatatkan pendapatan kira-kira RM80 juta.

“Saya percaya perkhidmatan sokongan yang ditawarkan pada tahun ini, kita mampu mencatatkan rekod pendapatan tertinggi melebihi RM100 juta menerusi sektor perubatan dan pelancongan kesihatan ini,” katanya pada Majlis Perubatan dan Pelancongan Johor di sini hari ini.

Sasaran itu jelas Mohd Azlan,  mampu dicapai berikutan terdapat tujuh hospital swasta dan 42 fasiliti kesihatan di Johor.

“Kita menyasarkan pelancong Indonesia daripada Kepulauan Riau antara jumlah tertinggi mendapatkan perkhidmatan kita memandangkan kedudukannya juga terletak berhampiran dengan Johor.

“Kemudahan feri dengan perjalanan terus daripada Batam ke Puteri Harbour, Iskandar Puteri antara faktor mampu menarik minat pelancong Indonesia meneroka peluang mendapatkan perkhidmatan perubatan di Johor,” katanya.

Selain itu, Tourism Johor menerusi kerjasama dengan agensi pelancongan menggalakkan lebih banyak hotel mengikut jejak Hotel Millesime yang bertindak sebagai hotel kesihatan pertama di Johor. – MalaysiaGazette