KUANTAN – Skuad Sri Pahang FC (SPFC) menyasarkan untuk berada sekurang-kurangnya pada tangga kelima saingan Liga Malaysia bagi musim 2023.
“Semua mahu menang tapi kita realistik sikit. Sasaran kita di bawah lima, kalau dapat kedudukan ketiga pun alhamdulillah. Mungkin sebab setengah daripada mereka ini pemain baru,” kata Ketua Jurulatihnya, Fandi Ahmad.
Jelas beliau, pasukan itu mempamerkan pencapaian yang boleh dibanggakan berdasarkan sesi latihan selama 10 hari di Bangkok, Thailand baru-baru ini.
Namun katanya ketiadaan beberapa pemain tengah akibat kecederaan mungkin menimbulkan rintangan buat skuad Tok Gajah menyinar bagi musim ini.
“Buat masa ini, kita ada masalah sikit di bahagian midfield sebab dua tiga orang masih dalam kecederaan. Mudah-mudahan tiada kecederaan lagi.
“Bahagian midfield belum sempurna kerana tak semua pemain dapat main bersama,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain Pasukan Sri Pahang FC 2023, di Timmora Venue, di sini hari ini yang disempurnakan Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mua’adzam Shah Almarhum Sultan Ahmad Shah.
Turut hadir Pengerusi SPFC, Raja Datuk Seri Shaharudin Shah Raja Jalil Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang.
Dalam majlis tersebut SPFC memperkenalkan secara rasmi jersi baharu, barisan penaja, pemain dan juga pegawai pasukannya.
Kekal dengan identiti sama yang menjadi simbolik kebanggaan Tok Gajah, SPFC mengenakan warna kuning-biru untuk jersi home dengan kuning sebagai warna dominan manakala biru-kuning untuk jersi away dengan biru sebagai warna dominan.
Turut diperkenalkan jersi ketiga (alternatif) berwarna putih. Bagi jersi penjaga gol pula adalah biru, merah jambu dan hijau. – MalaysiaGazette