Datuk Seri Shahidan Kassim.- Foto AFFAN FAUZI, 19 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Usul tergempar Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr. Shahidan Kasim agar Dewan Rakyat membincangkan permohonan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ditolak.

Dalam usulnya, Shahidan meminta Dewan Rakyat supaya menggesa Kerajaan menyegerakan pengeluaran KWSP secara bersasar.

Katanya, kehidupan pencarum semakin terdesak berikutan harga barangan semakin naik dan ada yang terpaksa menjual harta hingga sehelai sepinggang.

Beliau menegaskan, menjadi tanggungjawab Ahli Parlimen untuk mengotakan janji supaya membantu rakyat.

“Oleh yang demikian saya merasakan isu ini perlu disegerakan untuk dibincangkan kerana Kerajaan Perpaduan boleh mengambil langkah yang sama seperti yang dilakukan sewaktu era pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

“Supaya membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar, berperingkat. Pastinya pengeluaran KWSP secara bersasar menjadi kepentingan utama orang awam kerana KWSP adalah milik dan hak mereka,” kata Shahidan.

Menurut beliau, pencarum mempunyai hak mengikut
Seksyen 54 Akta KWSP 1991 yang merupakan punca kuasa bagi pihak KWSP membenarkan pengeluaran bagi tujuan kelangsungan hidup.

Pencarum tegas Shahidan, memerlukan wang simpanan titik peluh mereka dengan segera sebelum sesi persekolahan 2023 bulan depan.

“Tambahan pula (rakyat) akan menyambut bulan Ramadan dan Syawal sudah pasti rakyat memerlukan satu perbelanjaan besar, disamping mengharapkan dana kerajaan.

“Justeru pohon pertimbangan untuk membahaskan usul tergempar ini di bawah Peraturan Mesyarat 18(1) kerana ia melibatkan kepentingan rakyat,” katanya.

Menurut beliau, berdasarkan laporan KWSP Disember lalu terdapat peningkatan jumlah pencarum, majikan dan pencarum aktif sekali gus menunjukkan aliran wang tunai tidak menimbulkan masalah.

Sementara itu Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul meminta Shahidan untuk membawa semula usul tersebut selepas Belanjawan 2023 dibentangkan.

Belanjawan berkenaan akan dikemukan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat ini.

“Insya-Allah sesi bajet akan berlaku selepas 24 haribulan saya harap arau bawa isu ini sekali lagi untuk dibahaskan,” kata Johari. – MalaysiaGazette