Dr Imran Mohd Ibrahim

MELAKA – Prof Madya Dr Imran Mohd Ibrahim, pakar bidang telekomunikasi dari Universiti
Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah dipilih mewakili Malaysia untuk berkongsi kepakaran bagi mencorak dan membangunkan telekomunikasi masa hadapan dunia.

Beliau telah mewakili Malaysia Technical Standard Forum Berhad (MTSFB) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ke mesyuarat ITU Working Party 5D (ITUR-WP5D), Geneva, baru-baru ini.

ITUR-WP5D merupakan forum bawah International Telecommunication Union bertanggungjawab berkongsi kepakaran dan merangka pembangunan spesifikasi teknologi telekomunikasi untuk masa hadapan peringkat global.

Perkongsian kepakaran ini melibatkan tenaga pakar lebih dari 100 buah negara antaranya adalah Amerika Syarikat, China, Great Britain, Jepun, Korea Selatan dan India.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, ini merupakan pengiktirafan negara dan dunia bagi kepakaran yang dimiliki UTeM dalam bersama mencorak dan membangunkan teknologi telekomunikasi buat dunia dan komuniti sejagat.

Jelasnya, selaku universiti awam teknikal berprestij UTeM sentiasa peka dan terus bersama menerajui arus penerokaan kemodenan telekomunikasi global termasuklah pembangunan teknologi 6G dan penambahbaikan pelaksanaan teknologi 5G.

“Saya berharap perkongsian kepakaran oleh pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) UTeM, Dr Imran dapat memantapkan lagi pembangunan telekomunikasi ini berjaya sepenuhnya,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Menyentuh berkenaan dapatan perkongsian tersebut Dr Imran berkata, antara perkara utama yang disentuh adalah berfokus kepada perincian pembangunan spesifikasi teknologi 6G.

”Di samping itu, turut memperhalusi tentang kemodenan komunikasi besar-besaran antara peranti telekomunikasi dalam sektor kesihatan dan automotif dunia yang berfokuskan kepada kenderaan tanpa kendalian manusia.

”Selain itu, pembangunan telekomunikasi dunia turut memperincikan pemerkasaan pengunaan teknologi realiti maya (tanpa wayar) secara meluas,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut dapatan daripada perkongsian tersebut wakil dari setiap negara akan memberikan laporan terperinci kepada kementerian dan badan berkaitan di peringkat negara masing-masing pula. – MalaysiaGazette