KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini sah bertanding jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam pemilihan parti kali ini.
Jamal, 53, menzahirkan hasratnya untuk bertanding jawatan tertinggi UMNO itu selepas beliau sendiri menyerahkan borang pencalonan di ibu pejabat parti itu, hari ini.
Beliau menawarkan diri untuk menganggotai MKT UMNO selepas menyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar sejak dua penggal lalu.
“Saya berharap dapat sokongan dan undi daripada perwakilan UMNO dari seluruh negara untuk sama-sama berkhidmat dalam memperjuangkan UMNO.
“Saya sudah 10 tahun menggalas jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dan sudah sampai masanya untuk saya berkhidmat di pusat,” katanya kepada MalaysiaGazette di lobi Menara Dato Onn, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau bersama anak sulungnya, Muhammad Amin Daniel Jamal tiba di Ibu pejabat UMNO kira-kira jam 2.34 petang tadi.
Jamal yang juga Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) berkata, sekiranya memenangi jawatan itu, beliau bersedia membantu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memulihkan parti itu.
“MKT UMNO ini sangat penting untuk membuat dasar dan keputusan dalam menjaga kepentingan parti untuk terus relevan dalam politik negara ini.
“Saya sedia membantu Datuk Seri Ahmad Zahid untuk memulihkan UMNO yang tidak berapa stabil terutama selepas tewas dalam dua Pilihan Raya Umum sebelum ini,” katanya.
Selain Jamal, anak sulungnya, Amin Daniel turut menawarkan diri bertanding jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dalam pemilihan sayap parti itu pada 11 Mac ini.
Sekiranya diberi laluan menjadi Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, beliau komited untuk membantu menarik sokongan anak muda kembali kepada parti itu.
“Kalau kita lihat dalam PRU15, kebanyakan pengundi dalam kalangan orang muda 18 tahun tidak berapa minat dengan politik.
“Niat saya untuk bertanding kali ini untuk menarik balik sokongan anak muda supaya mereka kembali bersama UMNO,” katanya lagi. – MalaysiaGazette