KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki warga asing yang melarikan diri kerana elakĀ ditangkap pihak imigresen dalam satu operasi berakhir dengan tragedi apabila dia terjatuh dari bangunan.
Kejadian itu berlaku di Blok A Pusat Perdagangan Phileo Damansara, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan yang memaklumkan mengenai kejadian itu pada jam lebih kurang 5.15 petang tadi.
Katanya, setiba di lokasi kejadian pada jam 5.31 petang, pihak bomba mendapati seorang lelaki warga New Zealand terjatuh dari tingkat 14 ke tingkat 11 bangunan tersebut.
“Lelaki berusia 36 tahun itu terjatuh ketika cuba melarikan diri daripada diberkas pihak imigresen yang terlibat dalam serbuan operasi di premis perniagaan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian tangan dan tulang pinggul telah diberi rawatan awal oleh pasukan Bulan Sabit Merah yang turut berada di tempat kejadian itu. – MalaysiaGazette