Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (PH-PKR) mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menggunakan kuasanya secara cermat dan tidak terburu-buru.

Kata Hassan, beliau bimbang sekiranya kuasa eksekutif yang dimiliki oleh Perdana Menteri cenderung untuk membuat pendakwaan terpilih terhadap parti lawan.

Beliau berkata demikian sambil menyentuh pendakwaan  yang dihadapi oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkaitan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta, hari ini.

Dalam masa yang sama beliau juga menyentuh tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini yang memanggil bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberi keterangan berkaitan projek Jana Wibawa, termasuk bekas Menteri Kewangan yang dikatakan bakal memberi keterangan kepada agensi berkenaan.

“Kita (kerajaan) pun perlu berhati-hati saya berdiri di blok kerajaan, pada hari ini sahabat saya YB Bukit Tasek Gelugor (Datuk Wan Saiful Wan Jan) dibawa diheret ke mahakamah di bawa pertuduhan rasuah

“Beberapa hari lalu sahabat saya YB Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) disiasat oleh SPRM. Beberapa hari yang lalu mantan Menteri Kewangan juga disiasat berkenaan Pandora Papers dan saya dimaklumkan media bahawa mantan Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) dipanggil dan disiasat SPRM.

“Saya tiada masalah kalau dari segi perundangan, maknanya proses biasa agensi penyiasat seperti SPRM. Tapi saya perlu nyatakan di sini kita perlu berhati-hati seperti disebut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku tentang tadbir urus. Saya di blok kerajaan menyedari, kita boleh panggil semua tokoh-tokoh besar ini, menteri, mantan-mantan, timbalan menteri, sebab kita ada kuasa, kita eksekutif, SPRM di bawah kita, PDRM di bawah kerajaan (dengan kuasa yang ada).

“Saya bimbang sekiranya kalau tidak diberi peringatan boleh berlaku pendakwaan yang terpilih (meja ditepuk tanda sokongan) parti lawan kita jadi mangsa,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Jelas beliau, kuasa seorang Perdana Menteri besar kerana semua penguatkuasa dibawahnya.

“Perdana Menteri mempunyai kuasa yang luas dan besar. Maaf cakap kalau ikut undang-undang Perlembagaan Persekutuan, di bawah Perkara 40(1), tindakan Ke Bawah Duli hanya boleh dilakukan atas nasihat Perdana Menteri kecuali beberapa perkara Agong mempunyai budi bicaranya.

“Ertinya kuasa Perdana Menteri itu besar, sekarang ada pada YB Tambun (Anwar) dan saya tidak ada niat tidak baik tapi hanya untuk mengingatkan bahawa ‘Power tends to corrupt and absolute power corrupts absolutely’.

“Jadi kuasa itu mesti digunakan dengan cermat, jangan terburu-buru,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Hassan berkata, beliau bersangka baik bahawa Anwar bersungguh-sungguh memerangi rasuah seperti yang diuar-uarkannya sebelum ini.

Ahli Parlimen Parti Buntar, Misbahul Munir Masduki (PN) kemudian berdiri menyokong apa yang dikatakan oleh Hassan. -MalaysiaGazette