shahrir abdul samad
Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Datuk Wan Saiful Wan Jan berharaplah  agar penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menyeluruh dan Peguam Negara tidak cermat dalam mengendalikan kes.

Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad kata, keadaan itu seperti kes pertuduhan yang dihadapi sebelum ini.

”Mudah-mudahan kes YB akan digugurkan macam kes saya pada 5hb Jan lepas. Itu kalaulah YB sudah cerita habis dan berterus terang semasa disiasat. Macam saya,” katanya.

Shahrir mengulas kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu yang mendakwa beliau menjadi mangsa pendakwaan terpilih.

Mengulas kenyataan Wan Saiful itu, Shahrir berkata, beliau juga menggunakan hujah yang sama.

Ia kerana daripada 80 orang, hanya beliau dan Datuk Seri Ahmad Maslan sahaja yang didakwa.

Kata Shahrir, masa itu orang Bersatu yang berada dalam Kerajaan Pakatan Harapan senyum sinis sahaja dengan hujah beliau.

” Sama senyuman seperti Tun Mahathir, Tommy Thomas dan Latifah Koya,” ujarnya.

Shahrir, didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan, yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, pada 25 April 2014, mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun pada 5 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Ab Samad daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membebaskan Shahrir, 73, selepas Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya tidak berhasrat untuk meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh dalam kes itu. – MalaysiaGazette