SEPANG – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghantar pulang seorang remaja warganegara Bangladesh yang ditemui terperangkap dalam kontena di Klang pada 17 Januari lalu.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, remaja itu dihantar kembali ke Dhaka setelah menjalani rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
“Kita siasat bahawa kanak-kanak itu tidak terlibat dengan sebarang aktiviti pemerdagangan manusia, dalam keadaan mangsa yang agak lemah, pertimbangan kita adalah untuk menyelamatkan mangsa.
“Sehingga mangsa betul-betul sihat, dan dalam tempoh itu KDN membantu menghubungi Kedutaan Bangladesh supaya kedutaan membantu menyediakan dokumen mengembara kepada mangsa,” katanya dalam sidang media selepas meninjau proses penghantaran pulang remaja berkenaan.
Pada 20 Januari lalu, media melaporkan seorang remaja lelaki warga asing ditemukan di dalam sebuah kontena di dermaga Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang dipercayai terkunci selama enam hari di dalam kontena yang datang dari Chittagong, Bangladesh.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong.
Mangsa MD Ratul Islam Fahim akan dihantar kembali ke Dhaka dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan penerbangan komersial jam 7.45 malam ini ditemani beberapa pegawai Kedutaan Bangladesh.
“Saya fikir ini adalah manifestasi dalam prinsip Malaysia Madani yang dipelopori oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menunjukkan sifat ihsan semasa manusia,” jelas Saifuddin lagi.
Saifuddin berkata, proses menghantar pulang remaja berkenaan mengambil masa sebulan disebabkan persiapan dokumen pengembara mangsa.
“Persiapan untuk sediakan dokumen mengembara mangsa disediakan pejabat Kedutaan Bangladesh, kita tunggu mangsa sihat sepenuhnya dan kita pulangkan kembali mangsa.
“Tempoh sebulan itu munasabah,” katanya. – MalaysiaGazette
Remaja Bangladesh belayar ke Pelabuhan Klang selepas terkunci 6 hari dalam kontena