Remaja lelaki Bangladesh keluar dalam keadaan tidak bermaya selepas teerkunci dalam kontena yang belayar dari Chittagong ke Pelabuhan Barat.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki remaja Bangladesh ditemui terperangkap dalam sebuah kontena yang disyaki tiba dari negara itu ke Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada Rabu lalu.

Kapal kontena itu difahamkan berlepas dari sebuah pelabuhan di Chittagong, pada 13 Januari lepas.

Terdahulu, klip video berdurasi 56 saat memaparkan penemuan kanak-kanak dalam kontena kosong tersebut telah tular di media sosial sehingga menjadi topik perbincangan hangat warga netizen.

Menurut sumber, salah seorang kakitangan pelabuhan itu mendakwa dia terdengar bunyi ketukan dari dalam kontena berkenaan.

Sumber memaklumkan hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki remaja tanpa dokumen pengenalan diri memperkenalkan dirinya sebagai Fahim sebaik sahaja keluar dari dalam kontena itu.

Difahamkan, remaja berkenaan berehat lalu tertidur di dalam kontena yang terbuka di depoh Chittagong serta tidak sedar semasa kontena itu dikunci.

Dia terperangkap selama enam hari sehingga tiba di Pelabuhan Barat.

Remaja lelaki itu keluar dalam keadaan lemah serta tidak bermaya sebaik sahaja pintu kontena itu dibuka oleh salah seorang anggota polis bantuan yang bertugas di pelabuhan  tersebut.

Sumber juga memaklumkan dia kemudian telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut selain menjalani proses dokumentasi bersama Imigresen.

Remaja Bangladesh yang malang itu kemudian telah dihantar pulang ke negara asalnya menggunakan kapal yang sama pada Khamis lalu.

Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong dalam satu kenyataan yang dikeluarkan tengah malam tadi mengesahkan tentang insiden penemuan kanak-kanak warga Bangladesh dalam kontena itu. – MalaysiaGazette