IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah premis di kawasan perlombongan pasir Chenderiang di sini, semalam.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata hasil pemeriksaan menemukan sembilan tong dram berisi minyak disyaki diesel iaitu 1,800 liter, dengan anggaran nilai RM4,820 dan pihaknya telah mengambil keterangan seorang wanita berumur 40 tahun yang disyaki pemilik syarikat di premis itu.
“Serbuan ini adalah hasil maklumat risikan yang dilakukan oleh anggota Penguat Kuasa KPDN Perak selama seminggu berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan iaitu minyak diesel bersubsidi di stesen minyak sekitar Chenderiang, Tapah dan Kampar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati minyak diesel di dalam tong dram berkapasiti 200 liter itu digunakan sebagai bahan api jentera untuk aktiviti perlombongan pasir di kawasan terbabit.
Menurutnya, minyak diesel berkenaan disyaki diperoleh daripada aktiviti pembelian menggunakan lori melalui tangki asal di stesen minyak berdekatan secara berulang kali dan kemudiannya dipindahkan ke tong dram untuk dikumpulkan serta digunakan oleh jentera bagi industri perlombongan pasir.
Kamalludin juga memaklumkan premis terbabit telah beroperasi tanpa sebarang lesen atau kebenaran untuk menyimpan barang kawalan minyak diesel.
KPDN telah menyita minyak itu dan kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.- BERNAMA