Penduduk Orang Asli berharap segala laporan rasmi kepada pihak bertanggungjawab tentang pencerobohan tanah adat mereka yang didakwa berlaku aktiviti mencuri pasir mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya ketika tinjauan eksklusif MalaysiaGazette di Kampung Sungai Cincin, Tapah, Perak. Foto MUHD NA’IM, 12 FEBRUARI 2023.

TAPAH – Orang Asli di Kampung Sungai Cincin di sini mendakwa pernah mengadu isu curi pasir kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selepas tanah adat mereka diceroboh dengan aktiviti berkenaan.

Semasa itu Ahmad Faizal atau dikenali Peja menjadi Menteri Besar Perak.

Perkara berkenaan dikongsikan wakil penduduk, Azmi Bah Kachang yang memberitahu kejadian itu berlaku sekitar 2019 apabila jirannya yang dianggap sebagai bapa saudara menyerahkan sendiri memorandum kepada Menteri Besar Perak agar kecurian pasir tersebut dapat dihentikan.

“Faizal ada buat perasmian majlis dekat dewan sekitar sini pak cik saya bagi surat dekat tangan Ahmad Faizal sendiri dan dia tanya surat itu mengenai apa. Pak cik saya beritahu ini adalah surat kami buat bantahan tentang kecurian pasir.

“Ahmad Faizal jawab, kalau kamu tahu ada orang curi pasir, kenapa kamu tak curi sekali? Saya serius, memang saya sendiri dengar dia cakap begitu.

“Pak cik saya kemudian hilang hormat, tidak lagi panggil dia Datuk Seri atau encik, terus guna panggilan kamu sahaja,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Azmi Bah Kachang

Azmi, 69, memberitahu, kejadian itu membuatkan ramai penduduk kampung tidak lagi memandang Peja sebagai seorang pemimpin yang boleh menyelamatkan nasib mereka malah berasa status Orang Asli itu seperti pendatang asing di tanah air sendiri.

Katanya, mereka semakin buntu apabila pelbagai aduan rasmi termasuk menyerahkan memorandum kepada Ahmad Faizal di pejabatnya pada 2018 namun tindakan itu tidak menemui hasil.

“Selepas kita serah memorandum pada 5 Ogos 2018, projek curi pasir itu ada dihentikan sementara tapi tidak lama kemudian projek itu beroperasi semula dan semakin rancak sampai ganggu kehidupan penduduk kampung sehinggalah ke hari ini,” ulasnya.

Sebelum ini, MalaysiaGazette mendedahkan tanah adat Orang Asli di Kampung Sungai Cincin didakwa telah diceroboh oleh sebuah syarikat dengan aktiviti pengambilan pasir sehingga mengancam keselamatan penduduk.

Tinjauan secara eksklusif di kampung berkenaan yang hanya sekitar 20 kilometer dari pekan Tapah mendapati, projek itu menyebabkan pencemaran bunyi apabila ia mula beroperasi seawal pukul 4 pagi.

Mesin penapis pasir yang menghala secara terus ke parit

Malah projek tersebut telah menyebabkan penduduk hilang hasil pencarian apabila sungai di kawasan sekitar tapak pengambilan pasir itu tercemar dengan kelihatan tompokan minyak selain dapat dihidu bau diesel yang kuat.

Penduduk percaya ia disebabkan mesin penapis pasir yang ditempatkan di situ secara terus menghala ke parit dan akhirnya akan melalui ke beberapa batang sungai di kawasan mereka. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Henti curi pasir di tanah adat kami – Orang Asli Perak