PUTRAJAYA – Timbalan Pendakwaan Raya, Datuk V. Sithambaram mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya sendiri mencari nahas apabila mengambil tindakan yang akhirnya memakan diri.
Itu antara hujahnya pada prosiding semakan yang masuk hari ketiga di hadapan Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang bersidang bersama-sama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.
Dakwa Sithambaram, Najib yang juga mantan perdana menteri itu sudah mempunyai hasrat dan telah bertindak menukar barisan peguam terdahulu daripada Tetuan Shafee & Co kepada Tetuan ZIST supaya diberikan penangguhan.
Hujah beliau, tindakan Najib seperti memakan diri kerana beranggapan jika menukar peguam pada saat akhir (tiga minggu sebelum) beliau boleh mendapat penangguhan walhal prosiding rayuan sudah ditetapkan empat bulan sebelum itu.
“Mahkamah Persekutuan tidak boleh disalahkan kerana tidak mahu tangguh rayuan seperti yang peguam minta. Memang jelas sekali tindakan melantik baharu adalah bertujuan untuk tangguh rayuan.
“Seandainya ini dibenarkan maka selepas ini penangguhan sentiasa boleh diminta setiap kali peguam baharu mengambil alih kes di saat pendengaran yang sudah ditetapkan. Ini akan menjadi precedent. Mahkamah akan guna budi bicara untuk tidak membenarkan penangguhan.
“Najib hanya boleh salahkan diri sendiri kerana gagal dalam ketepikan sabitan kerana bersalah menyeleweng dana SRC International,” hujahnya.
Dakwa Sithambaram lagi, bekas Presiden UMNO itu agak yakin mahkamah akan membenarkannya memasukkan bukti baharu pembabitan keluarga bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang akhirnya boleh membenarkan penangguhan.
Jelasnya, pasukan bela Najib seperti tidak mempunyai pelan B seandainya penangguhan tidak dibenarkan.
“Bila tidak berjaya, pasukan Najib minta Tengku Maimun tarik diri. Tindakan ini semua sebenarnya tidak lebih daripada cubaan lengah masa. Mahkamah betul apabila tidak benarkan permohonan penangguhan oleh peguam, Hisyam Teh Poh Teik sebelum ini.
“Apabila ada masa empat bulan, mengapa hanya tukar pada saat-saat akhir sahaja?” soalnya.
Prosiding akan bersambung selepas makan tengah hari ini.
Najib dalam permohonan semakannya memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas dalam mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda kerana penyelewengan dana SRC. -MalaysiaGazette