KITA sedia maklum bahawa kerap bersenam bagus untuk kesihatan – terutamanya untuk mencegah penyakit kardiovaskular. Persoalannya, adakah ia bermaksud bahawa sekiranya anda aktif dan cergas dan anda tidak perlu risau akan penyakit jantung?
Walaupun anda aktif bersukan dan cergas, tidak bermakna anda terlepas sepenuhnya dari masalah jantung, kata Dr Ahmad Fazli Abdul Aziz, Pakar Perunding Kardiologi dan Elektrofisiologi di Hospital Pakar KPJ Selangor.
”Saya khuatir kerana saya telah melihat dalam beberapa tahun kebelakangan ini – penyakit jantung bukan lagi sinonim menyerang golongan tua, golongan yang tidak bersukan atau golongan yang mempunyai berat badan berlebihan. Kini serangan jantung boleh menyerang orang muda yang cergas dan sihat. Oleh itu kita mesti sentiasa berfikiran terbuka,” tambahnya.
Keletihan yang melampau, kaki bengkak, pening, berpeluh, loya adalah antara ‘petunjuk’.
Selaras dengan perkara ini, Dr Fazli menjelaskan, ramai pesakit menganggap tanda-tanda tersebut bukan apa-apa dan sebaliknya mereka akan berasa lebih sihat, tetapi sebenarnya ia boleh menjadi tanda masalah jantung.
Sejarah keluarga adalah kunci utama
Penyakit jantung kekal sebagai pembunuh nombor satu Malaysia dan berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, 1.7 juta rakyat Malaysia kini hidup dengan tiga faktor risiko utama – diabetes, hipertensi dan kolesterol tinggi. Kematian akibat penyakit itu meningkat setiap tahun, dan ia merupakan punca utama ‘kematian mengejut’ di Malaysia.
Terdapat banyak faktor dan antaranya ialah faktor genetik serta gaya hidup. Anda perlu lebih peka terutamanya jika keluarga mengalami sejarah serangan jantung. Ini bermakna anda boleh jadikan ujian kesihatan sebagai rutin atau mengambil langkah ‘berjaga-jaga’.
Adakah masih perlu bersenam?
”Sama sekali ya,” kata Dr Ahmad Fazli. Ini bukan bermaksud anda tidak perlu cergas dan mengekalkan gaya hidup sihat jika anda mempunyai kecenderungan untuk mendapat penyakit jantung. Perlu diingatkan, sihat dan cergas tidak bermakna anda terlepas dari masalah penyakit jantung. Tidak dinafikan senaman bermanfaat untuk kesihatan jantung, tetapi senaman berlebihan atau melebihi had anda tanpa mengetahui keadaan jantung adalah tidak baik. Setiap ubat adalah racun jika diberikan pada masa yang
salah dan dos yang salah, begitu juga dengan senaman.
Oleh itu, adalah penting untuk menilai diri anda sebelum anda melakukan senaman berat. Terdapat kategori tertentu orang yang bersenam boleh mencetuskan serangan jantung. Isu penyakit jantung yang tak dapat dikesan adalah sangat serius.
‘Nampak’ cergas dan sihat tidak bermakna anda sihat
Berat badan sering muncul dalam perbincangan mengenai risiko penyakit dan kesihatan jantung. Ia boleh menjadi penunjuk yang berguna dan obesiti biasanya dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit. Tetapi Dr Ahmad Fazli menegaskan bahawa apabila ia datang kepada penyakit kardiovaskular, luaran tidak selalu sepadan dengan dalaman: “Pemakanan yang sihat adalah penting, tetapi tidak semua orang yang berlebihan berat badan mempunyai penyakit jantung dan kolesterol tinggi serta masalah kesihatan, dan bukan semua yang kelihatan kurus dan cergas pada zahirnya mempunyai jantung yang
sihat”.
Pemeriksaan awal dan kerap adalah penting
Bersenam tanpa mengetahui sama ada jantung anda berada di ambang serangan adalah merisaukan. Secara kebetulan, apabila gejala masalah jantung mula muncul, penyakit itu kadang-kadang sudah berada di peringkat serius.
Gejala serangan jantung termasuk ketidakselesaan dada yang mungkin
dikaitkan dengan ketidakselesaan rahang, leher atau lengan, sesak nafas, pening atau berpeluh. Pada masa ini berlaku, kerosakan otot jantung telah pun berlaku.
Ada ketikanya kita melihat pesakit yang mengalami serangan jantung yang tidak mempunyai gejala terlebih dahulu sebelum terjadinya serangan. Ada yang menghidap diabetes, hipertensi dan kolesterol tinggi yang tidak dikenali. Faktor risiko ini biasanya tanpa gejala dan oleh itu hanya boleh dikesan melalui
pemeriksaan awal.
Ujian saringan berkala diperlukan untuk mengetahui masalah pada peringkat awal, supaya rawatan yang sewajarnya boleh diberikan sebelum kerosakan yang ketara pada jantung berlaku. Ujian saringan biasa ialah ECG, ekokardiogram, ujian tekanan, imbasan CT. Ujian saringan jantung adalah dinasihatkan sekali setahun atau sekali dalam 2 tahun selepas umur 40 tahun dalam populasi umum atau selepas umur 30
tahun dalam populasi berisiko tinggi’, jelasnya.
Saya mencadangkan semua orang untuk melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala dan mengetahui apa yang berlaku di dalam badan anda dan biarkan kami memberi nasihat dan pemantauan yang sewajarnya.
Artikel daripada Hospital Pakar KPJ Selangor