Penyerahan kutipan misi kemanusiaan PN ke Turkiye di Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Wan Saiful Wan Jan meletakkan jawatan Ketua Penerangan Bersatu menunjukkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mementingkan parti.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, sebaliknya tindakan yang diambil oleh Wan Saiful itu telah meletakkan satu standard untuk pemimpin yang dihadapkan ke mahkamah.

Bekas perdana menteri itu menghargai tindakan secara sukarela diambil Wan Saiful yang disifatkan sebagai mulia.

“Saya telah berjumpa dengan Datuk Wan Saiful pagi tadi. Selepas kita berbincang beliau bersetuju meletakkan jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu berkuatkuasa hari ini.

“Bukan kerana kita mengatakan beliau bersalah. Ini satu set standard menunjukkan kita bahawa kerana dia berhadapan dengan pertuduhan supaya tidak menimbulkan apa-apa salah pandangan terhadap Bersatu.

“Beliau sendiri menyatakan ‘saya akan meletakkan jawatan’. Ini satu langkah yang cukup saya hargai,” katanya.

Muhyiddin berkata, tindakan Wan Saiful melepaskan jawatan akan memudahkan Bersatu kerana ia dapat menepis pandangan negatif rakyat terhadap parti.

“Ini satu sifat yang sangat mulia yang saya sokong. Kita akan berhadapan dengan rakyat atas dasar bermaruah. Ini bukan menghukum. Dia sukarela. Sesuatu tindakan yang penuh mulia.

“Ini memudahkan penggantinya menjalankan tugas kerana ketua penerangan ini penting untuk menyebarluaskan dasar dan perjuangan, matlamat parti.

“Yang penting manifesto yang akan dibentangkan kepada rakyat di enam negeri,” katanya.

Muhyiddin berkata, parti akan melantik seorang ahli majlis tertinggi parti untuk menyandang jawatan Ketua Penerangan.

Muhyiddin berkata demikian dalam sidang media di Parlimen selepasĀ  melancaran Misi Kemanusiaan Perikatan Nasional (PN) bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye yang akan bermula dari 3 hingga 7 Mac.

Turut hadir Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Presiden Pas, Sri Abdul Hadi Awang.

Seramai 15 ahli Parlimen PN akan mengikuti misi yang diketuai oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Man Tuan Ibrahim.

Wan Saiful mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu hari ini.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu diseret ke mahkamah semalam atas dakwaan menerima hampir RM7 juta bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan projek berkaitan lebuh raya daripada Kerajaan Malaysia.

Beliau turut didakwa meminta rasuah daripada seorang individu bagi mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur bernilai RM232 juta.

Hakim Azura Alwi membenarkan Wan Saiful dibebaskan dengan jaminan RM400,000 dengan seorang penjamin, pasport ditahan oleh mahkamah manakala tertuduh diarah melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dua bulan sekali.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Mulia sungguh ye!! So, slps ni yg bakal kene angkut pun perlu bt bende yg same.. saje nk pesan!!!

Comments are closed.