Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang beg yang berisi teks Pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR –  Kerajaan memperuntukkan RM127 juta bagi menyemarakkan industri kreatif, seni dan budaya dalam Belanjawan 2023.

Daripada jumlah itu, Dana Kandungan Digital (DKD) mendapat RM102 juta bagi mendukung usaha penggiat seni kreatif mengangkat sektor seni dan budaya tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu membolehkan pemasaran produk seni tempatan dipertingkat selain mendorong lebih banyak karya kreatif dihasilkan.

“Kerajaan bercadang agar sumbangan Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah FINAS akan diberi potongan cukai,” katanya yang Menteri Kewangan semasa membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata, aktiviti kebudayaan berperanan besar dalam melahirkan masyarakat madani yang saling menghormati dan bersatu padu.

“Ini juga penting bagi menyuburkan kepelbagaian khazanah seni yang kita warisi zaman-berzaman. Kerajaan menyediakan dana RM25 juta bagi menyemarak kegiatan kebudayaan dan kesenian di peringkat komuniti.

“Pemerkasaan budaya dimulai dengan budaya iqra’ bagi memupuk minat membaca karya klasik dan agung yang membabitkan khazanah alam Melayu, dunia Islam dan Barat,” katanya.

Anwar turut memberitahu, kerajaan menyokong usaha menyubur dan menterjemah karya agung seperti karya Imam Al-Ghazali, pengasas Maqasid Syariah Abu Ishaq al-Shatibi, Syeikh Daud Abdullah al-Fatani dan Nuruddin Ali ar- Raniri, pemikir, sasterawan dan fialsuf Muhammad Iqbal.

“Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) serta Yayasan Karyawan diberi mandat mempergiat aktiviti terjemahan dan menjadikan ia sebagai bahan bacaan disukai ramai.

“Aktiviti penerbitan bermutu tinggi oleh penulis tempatan juga akan dipertingkatkan. Sejumlah RM20 juta disediakan untuk tujuan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast