KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna yang mengukur kadar inflasi di Malaysia pada bulan Januari 2023 reda kepada 3.7 peratus berbanding 3.8 peratus pada Disember 2022 dengan mata indeks
mencatatkan 129.5 berbanding 124.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Peningkatan perlahan ini dicatatkan sejak Oktober 2022.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan inflasi di Malaysia pada Januari 2023 disumbangkan oleh kumpulan restoran & hotel (6.8%), makanan & minuman bukan alkohol (6.7%) dan pengangkutan (4.0%).
Ini diikuti oleh kumpulan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (3.5%); perkhidmatan rekreasi & kebudayaan (2.7%); pelbagai barangan & perkhidmatan (2.3%) dan kesihatan (1.6%).
Perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain dan pendidikan masing-masing merekodkan kenaikan sebanyak 1.5 peratus dan 1.3 peratus.
Kedua-dua minuman alkohol & tembakau dan pakaian & kasut masing-masing meningkat sebanyak 0.8 peratus dan 0.5 peratus berbanding Januari 2022.
Kumpulan makanan & minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) telah merekodkan peningkatan yang lebih perlahan berbanding Disember 2022, dipacu oleh komponen makanan di luar rumah yang menyederhana kepada 9.3 peratus berbanding 9.6 peratus pada Disember 2022, manakala makanan di rumah meningkat 5.1 peratus berbanding bulan sebelumnya (Disember 2022: 4.9%).
Komponen makanan di rumah menyumbang 57.4 peratus daripada wajaran kumpulan makanan & minuman bukan alkohol.
Antara Makanan di luar rumah yang meningkat perlahan adalah nasi ayam (8.0%), makanan berasaskan ayam (6.3%) dan nasi lemak (5.1%).
Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2023 bermula pada 15 hingga 29 Januari 2023 dan penetapan harga maksimum minyak masak kemasan botol oleh kerajaan telah meredakan inflasi kumpulan ini dari terus meningkat.
Kesemua subkumpulan makanan & minuman bukan alkohol mencatatkan peningkatan antara 0.7 hingga 9.1 peratus.
Subkumpulan daging mencatatkan peningkatan sebanyak 8.3 peratus berbanding Januari 2022, diikuti oleh susu, keju & telur (7.0%); beras, roti & bijirin lain (6.7%) dan buah-buahan (4.4%).
Gula, jem, madu, coklat & manisan dan ikan & makanan laut masing-masing meningkat 3.4 peratus dan 3.2 peratus manakala subkumpulan minyak & lemak menyederhana kepada 0.7 peratus.
Subkumpulan Daging telah mencatatkan peningkatan 8.3 peratus berbanding 7.8 peratus pada Disember 2022 dengan aAyam yang merupakan komponen terbesar dalam subkumpulan ini (46.1%) telah meningkat kepada 6.5 peratus berbanding 5.8 peratus pada bulan sebelumnya.
Purata harga ayam standard pada bulan Januari 2023 meningkat kepada RM10.30 sekilogram berbanding RM9.48 pada Januari 2022 (Disember 2022: RM10.31) manakala, purata harga di Semenanjung Malaysia adalah RM9.70 sekilogram, melebihi paras harga kawalan yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM9.40.
Peningkatan pada subkumpulan ini turut didorong oleh kenaikan daging babi (30.2%) dan itik (11.6%).
Secara bulan ke bulan, Daging segar meningkat secara marginal sebanyak 0.2 peratus, disumbangkan oleh peningkatan daging babi yang mencatatkan 2.2 peratus, diikuti oleh daging itik (1.2%) dan daging lembu (0.5%).
Selain itu, subkumpulan susu, keju & telur meningkat lebih rendah iaitu 7.0 peratus pada Januari 2023 berbanding Disember 2022 (7.1%). Namun, telur ayam yang menyumbang lebih daripada 20.0 peratus dalam subkumpulan ini terus meningkat kepada 4.5 peratus berbanding Disember 2022 (4.1%).
Susu sejat dan susu pekat manis terus mencatatkan peningkatan dua digit, walaupun pada kadar lebih perlahan iaitu 16.2 peratus berbanding 16.7 peratus pada Disember 2022.
Peningkatan subkumpulan beras, roti & bijirin telah menyederhana kepada 6.7 peratus berbanding Disember 2022 (7.0%) disumbangkan terutamanya oleh peningkatan tepung gandum (28.8%) dan mi basah (21.1%).
Produk roti dan bakeri yang meningkat sebanyak 7.2 peratus pada Januari 2023 turut menyumbang kepada kenaikan subkumpulan ini.
Inflasi bagi subkumpulan minyak & lemak 0.7 peratus (Disember 2022: 1.0%), selari dengan harga siling minyak masak kemasan botol 2 kilogram, 3 kilogram dan 5 kilogram secara bulanan bagi tempoh 8 Januari hingga 7 Februari 2023.
Selain itu, subkumpulan Sayur-sayuran turut mencatatkan peningkatan kepada 1.0 peratus berbanding 0.9 peratus pada Disember 2022.
Walau bagaimanapun, pada asas bulanan, subkumpulan ini mencatatkan peningkatan sederhana 0.7 peratus berbanding 1.7 peratus pada Disember 2022.
Peningkatan harga sayur-sayuran tempatan berikutan hujan lebat berterusan sejak akhir Disember 2022 hingga Januari 2023 dan menyebabkan pengeluaran hasil sayuran turut terjejas dengan beberapa jenis sayuran mengalami kekurangan bekalan.
Antara sayur-sayuran yang mencatatkan kenaikan tahun ke tahun adalah Tomato (18.1%) dengan purata harga RM7.97 sekilogram (Januari 2022: RM6.12),
Bendi (10.1%) dengan purata harga RM10.39 sekilogram (Januari 2022: RM9.15), Kacang panjang (5.8%) dengan purata harga RM7.74 sekilogram (Januari 2022: RM6.87) dan Timun (5.4%) dengan purata harga RM4.22 sekilogram (Januari 2022: RM3.91). Manakala, beberapa sayur-sayuran yang mencatatkan penurunan adalah seperti Kubis bulat (-13.1%) dengan purata harga RM4.66 sekilogram (Januari 2022: RM5.70) dan Kubis panjang (-9.4%) dengan purata harga RM6.08 sekilogram (Januari 2022: RM6.37).
Ikan segar turut mengalami kenaikan sebanyak 3.2 peratus (Disember 2022: 3.1%). Antara ikan yang merekodkan peningkatan purata harga adalah Ikan keli yang meningkat kepada RM10.69 (Januari 2022: RM9.67), Ikan pelaling RM14.96 (Januari 2022: RM13.74), dan Ikan bawal putih RM41.97 (Januari 2022: RM38.59). – MalaysiaGazette