Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim selepas menghadiri Pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan Belanjawan 2023 sebagai tidak adil kerana tidak menyentuh peruntukan kepada wakil-wakil rakyat pembangkang.

Beliau berkata, sebagai sebuah kerajaan yang mengangkat martabat sebagai Kerajaan Madani, adalah tidak wajar peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang yang hendak disalur kepada rakyat tidak diberikan.

Katanya, pembangkang bukan minta diberikan wang saku sebaliknya peruntukan untuk pembangunan rakyat di kawasan masing-masing.

“Dalam dunia ini, semua kerajaan beri peruntukan kepada pembangkang…itu untuk rakyat. Kami wakil rakyat, kami menang pilihan raya, kenapa hak kami dinafikan.

“Kami (pembangkang) tak dapat peruntukan, ahli-ahli Parlimen kerajaan dapat, kenapa kami tak dapat?

“Malaysia ini rakyatnya ada 33 juta ahli Parlimen 222, ada perbezaan antara kerajaan dan juga rakyat…kalau mereka nak hukum pembangkang tidak perlu pembangkang di Parlimen ini.

“Buat pembangkang dalam pada masa sama beri tekanan kepada kami…kami bukan minta duit poket tapi kami minta duit rakyat itu diberi sama rata,” katanya ketika ditemui selepas di lobi Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2023 di sini hari ini.

Menurut Shahidan lagi, sekiranya benar kerajaan menghadapi masalah kewangan ketika ini adalah lebih baik jika semua ahli Parlimen tidak diberikan peruntukan.

Namun, apa yang berlaku, dakwanya, pemberian bajet telah dibeza-bezakan antara blok kerajaan dan juga pembangkang.

“Kami sekarang tengah monyok…kalau kerajaan tengah susah tak payahlah bagi semua (peruntukan)…ini duit rakyat…mana boleh duit rakyat dibeza-bezakan…kata rakyat tak dibeza-bezakan, ini tidak,” ujarnya.

Justeru beliau akan menyokong apa yang bagus di dalam belanjawan seperti diumumkan dan akan membahaskan perkara di sebaliknya pada sesi perbahasan kelak. – MalaysiaGazette