Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan di Facebook mengucapkan tahniah atas pelantikan Datuk Kamil Othman. - Foto Facebook/Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Datuk Kamil Othman dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang baharu.

Pelantikan beliau ke jawatan itu diumumkan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Kamil menggantikan senator Datuk Seri Zurainah Musa yang dibatalkan perkhidmatannya berkuat kuasa Disember lalu.

“Tahniah buat Datuk Kamil Othman atas lantikan sebagai Pengerusi Finas yang baharu.

“Datuk Kamil Othman tidak asing dalam industri, pernah menjawat tugas CEO Finas,” katanya.

Fahmi berkata, satu pertemuan akan diaturkan bersama Pengerusi Finas yang baharu pada minggu hadapan termasuk hala tuju badan itu.

Selain itu beliau akan meneliti dapatan dan teguran laporan Ketua Audit Negara untuk penambahbaikan dan pembetulan.

“Insya Allah Pengerusi Skim Wajib Tayang Finas akan dilantik secepat mungkin,” tambahnya. – MalaysiaGazette