PUTRAJAYA — Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membina 1,048 unit Rumah Belia Madani (RBM) bagi membantu golongan belia yang baru memulakan kehidupan di Kuala Lumpur.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, RBM yang sebelum ini dikenali Rumah Transit Belia itu akan ditawarkan secara transit atau sewaan kepada golongan belia yang layak untuk mendudukinya.

“Kerajaan amat menyedari keperitan dan rintihan golongan muda terutamanya yang baru membina kehidupan di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.

“Inisiatif ini akan memberi keutamaan kepada golongan belia bawah 35 tahun yang baru memulakan kerjaya dengan pendapatan yang minimal.

“KPKT berharap agar inisiatif ini dapat membantu meringankan beban kewangan bagi tempoh sekurang-kurangnya dua tahun sebelum individu berkenaan mampu memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian pembangunan RBM antara KPKT dan BMG Global Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, KPKT diwakili Ketua Setiausahanya, Datuk M Noor Azman Taib manakala BMG Global Sdn. Bhd. diwakili Pengarah Eksekutif, Sakeri Maming.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (tengah) menyaksikan sesi menandatangani Perjanjian Pembangunan (Rumah Belia Madani) diantara Ketua Setiausaha (KPKT), Datuk M. Noor Azman Taib (kanan) dan Pengarah Eksekutif BMG Global Sdn.Bhd, Sakeri Maming (kiri) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Rumah Belia Madani (RBM) Mukim Batu, Kuala Lumpur di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 24 FEBRUARI 2023.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, pembangunan RBM dibuat secara percuma hasil jualan Rumah Mampu Milik (RMM) yang akan dibangunkan pemaju sama.

“RBM akan dibangunkan secara cross subsidy oleh KPKT bersama BMG Global Sdn. Bhd. yang akan membangunkan sebanyak 1,996 unit RMM dengan tawaran harga RM300,000 kepada golongan M40.

“Melalui keuntungan hasil jualan ini, pemaju (BMG) akan membina 1,048 unit RMB secara pulangan timbal balik (in-kind) kepada kerajaan iaitu 35 peratus daripada keseluruhan unit yang akan dibina,” katanya.

Jelas Akmal Nasrullah, keseluruhan kos pembinaan 3,044 unit rumah yang dibangunkan di atas 12.8 ekar tanah kerajaan di Kuala Lumpur akan ditanggung pihak pemaju.

RBM akan dibangunkan berhampiran Taman Metropolitan Kepong, manakala RMM berhampiran Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Kuala Lumpur.

Tambah beliau, KPKT sentiasa peka dengan isu penyediaan rumah mampu milik terutama dalam kalangan golongan muda yang merupakan antara fokus utama KPKT dalam memastikan kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu katanya, KPKT berharap pembentangan Bajet 2023 yang akan diumumkan Perdana Menteri hari ini meliputi aspek perumahan yang selari dengan konsep Madani.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini meninjau keadaan di Wilayah Kuala Lumpur secara spesifik menyebut untuk melihat kumpulan penjaja.

“Jadi saya pasti isu berkaitan dengan rakyat kebanyakan dalam tempoh jangka panjang juga akan diberi keutamaan termasuk pelan jangka pendek.

“Saya sangat optimis, akan ada pertambahan dana,” katanya. -MalaysiaGazette