KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki yang disyaki terjatuh ketika memancing ikan di laut pada Khamis lalu berjaya ditemui hari ini.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor mengesahkan tentang penemuan mayat mangsa tersebut.
Pengarahnya, Kapten V. Sivakumar berkata, mayat mangsa telah ditemui terapung oleh nelayan di sekitar perairan Kapar, Klang dekat sini pada pukul 2.30 petang tadi.
“Sejurus kami menerima maklumat berkenaan, bot PERKASA 36 bersama bot agensi sahabat bergegas ke lokasi dan menemukan satu mayat lelaki dalam keadaan terapung.
“Mayat itu telah dibawa ke Jeti Pangkalan Nelayan Sementa bagi proses pengecaman oleh ahli keluarga sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Sivakumar, pengecaman awal identiti si mati telah dilakukan oleh keluarga mangsa sebelum mengesahkan bahawa mayat itu adalah Raiman Suyud berusia 54 tahun.
Mangsa dilaporkan terjatuh dalam laut di pesisir pantai di Perairan Sementa pada 23 Februari lalu.
Berikutan penemuan mayat mangsa itu, operasi Carilamat ditamatkan pukul 5 petang dan Pos Hadapan Carilamat (PHC) di jeti Pangkalan Nelayan Sementa, Kapar Selangor telah ditutup. – MalaysiaGazette