Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Datuk Mohd Zubil Mat Som

KUANTAN – Usaha Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memastikan seluruh warganya berintegriti membuahkan hasil apabila berjaya merangkul pingat gangsa  Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA) tahun 2022 baru-baru ini.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, pengiktirafan  dari Institut Integriti Malaysia (IIM) merupakan bukti pihaknya  sentiasa memandang serius isu integriti dalam kalangan pegawai dan anggota khususnya mereka yang berada di lapangan.

“Pengiktirafan yang diterima ini mencerminkan usaha yang dilaksanakan Maritim Malaysia dalam mendepani cabaran risiko ketirisan, isu-isu governans dan integriti sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Tidak dinafikan dalam usaha menjadikan Maritim Malaysia berintegriti terdapat kes-kes terpencil yang telah mencalarkan nama baik agensi ini.

“Namun ia tidak melemahkan Maritim Malaysia untuk sentiasa memastikan para pegawai dan anggota meletakkan integriti sebagai kepentingan utama ketika menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan,” katanya menerusi kenyatan hari ini.

Mohd Zubil menegaskan, pada tahun ini Maritim Malaysia akan melipatgandakan usaha bagi memastikan kadar isu integriti dan tatatertib dalam kalangan warga Maritim Malaysia diturunkan.

Untuk itu, beliau memaklumkan Maritim Malaysia akan melaksanakan Pensijilan Anti Bribery Management System (ABMS) dalam memastikan semua warga agensi ini mematuhi dan melaksanakan kreteria integrity ketika melaksanakan tugas masing-masing.

AIGA yang julung kali diadakan IIM ini merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan kepada institusi sektor awam dan swasta yang menzahirkan komitmen dalam pembudayaan dan pengamalan integriti serta tadbir urus terbaik menerusi inisiatif anti rasuah dalam organisasi.

Penyertaan anugerah pada kali ini telah melibatkan 115 organisasi terdiri daripada agensi kerajaan, Syarikat Multinasional (MNC), Syarikat Awam Berhad (PLC)Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). – MalaysiaGazette