Penjawat Awam, Wan Norlela menunjukkan Buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2023 selepas Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia MADANI di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA , 24 FEBRUARI 2023.

GEORGE TOWN – Penduduk Pulau Pinang menyifatkan pembentangan Belanjawan 2023 semalam merupakan perancangan kewangan awam paling berani.

Ini kerana sebahagian besar peruntukan dan inisiatifnya untuk memastikan kelangsungan hidup rakyat dan ketahanan ekonomi.

Rata- rata orang awam melahirkan penghargaan atas keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan menerusi bajet di bawah Kerajaan Madani.

Marjanah M. Sheriff, 57, berkata, langkah kerajaan menambah sumbangan tunai kepada golongan B40 menerusi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang berjumlah sehingga RM3,100 adalah tepat pada masanya.

Marjanah.

Jelasnya, ia secara langsung dapat meringgankan beban golongan B40 kini yang terkesan akibat kenaikan kos sara hidup.

“Bagi saya pengumuman belanjawan semalam amat signifikan kerana banyak yang dibentangkan memihak kepada golongan yang memerlukan khususnya B40.

“Ini secara langsung menunjukkan perdana menteri ambil tahu apa kesusahan rakyat berpendapatan rendah sebelum membentangkan belanjawan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Bagi, Nurul Hamiimah Johari, 21, pemberian lesen motosikal secara percuma akan menggalakan lebih ramai orang khsusunya anak muda untuk memiliki lesen.

Nurul Hamiimah.

Kata pekerja swasta itu, tindakan itu juga ibarat advokasi kerajaan kepada mereka yang tidak memiliki lesen merebut peluang itu.

“Tak pernah jangka kerajaan akan umumkan peruntukan sebegini. Saya rasa langkah ini akan mengurangkan penunggang motosikal yang tidak berlesen dalam negara.

“Namun saya harap kerajaan segera melaksanakan peruntukan ini secepat mungkin agar rakyat menerima manfaat itu secara teratur,” katanya.

Sementara itu, bagi Masriah Mahyadin, 36, belanjawan semalam turut memberi kelegaan kepada golongan M40.

Masriah.


“Memang ramai dakwa M40 berpendapatan lebih berbanding B40 tetapi dengan kos sara hidup kini golongan seperti kami turut memerlukan perhatian daripada kerajaan.

“Selain itu, bagi saya Belanjawan 2023 ini bukan bajet gula-gula sebaliknya untuk rakyat serta ketahanan ekonomi,” ujarnya.

Semalam, Perdana Menteri membentangkan belanjawan bertemakan ‘Membangun Malaysia MADANI’ yang menumpukan 12 ikhtiar utama berlandaskan tiga tekad iaitu pemacuan ekonomi yang terangkum dan mampan, reformasi institusi dan tata kelola bagi memulih keyakinan dan keadilan sosial untuk menyederhana kesenjangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast