Insiden letupan bom yang mrosakkan bumbung kereta MYvi milik penghantar barang parcel pos di hadapan rumah di Padang Jawa, Shah Alam pada 17 Februari lalu jam 3.50 pagi. Ihsan IPD Shah Alam

KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang melihat percikan api atas kereta terkejut setelah mendapati bumbung kereta Perodua Myvi milik suaminya itu berlubang disyaki terkena bahan letupan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, insiden itu berlaku di hadapan rumah pengadu yang terletak di Padang Jawa, Shah Alam dekat sini baru-baru ini.

Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Katanya, pada 17 Februari lalu, pukul 4.01 pagi. polis Shah Alam telah menerima panggilan daripada mangsa lelaki berusia 35 tahun yang memaklumkan berlaku satu letupan di bahagian bumbung keretanya.

“Menurut mangsa pada pukul 3.50 pagi ketika sedang berada di ruang tamu rumah, dia telah dimaklumkan oleh isterinya yang ternampak percikan api atas keretanya miliknya.

Insiden letupan bom yang merosakkan bumbung kereta MYvi milik penghantar barang parcel pos di hadapan rumah di Padang Jawa, Shah Alam pada 17 Februari lalu .- Gambar iIhsan IPD Shah Alam

“Selang dua minit kemudian, mangsa keluar dari rumah untuk memeriksa keadaan di luar rumah yang telah dipenuhi asap sebelum menghubungi pihak polis.

“Hasil siasatan polis di tempat kejadian mendapati kereta mangsa jenis Perodua Myvi bewarna kuning yang diparkir di hadapan rumahnya berlubang di bahagian bumbung,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Iqbal, pemeriksaan polis di dalam kereta tidak menjumpai apa-apa senjata atau benda asing tetapi kereta didapati berlubang di bahagian bumbung dipercayai kesan gelombang letupan kerana ada kesan lekukan besi bumbung kereta.

Insiden letupan bom yang mrosakkan bumbung kereta MYvi milik penghantar barang parcel pos di hadapan rumah di Padang Jawa, Shah Alam pada 17 Februari lalu jam 3.50 pagi. Ihsan IPD Shah Alam

Katanya, soal siasat terhadap saksi kejadian iaitu jiran mangsa mendapati dia telah mendengar satu bunyi letupan yang agak kuat semasa kejadian.

“Pasukan Forensik IPK Selangor bersama forensik Bukit Aman dari Unit Pemusnah Bom hadir di tempat kejadian dan setelah pemeriksaan dibuat menyatakan pembuatan bom adalah dari orang yang ada kepakaran.

“Bahan letupan yang digunakan suspek adalah jenis low explosive (serbuk belerang) manakala teknik yang digunakan suspek untuk menyebabkan letupan adalah teknik bakar kerana menjumpai sumbu.

“Berikutan insiden itu, polis setakat ini telah memanggil 10 saksi dan mengambil rakaman percakapan daripada mereka bagi membantu siasatan lanjut polis mengenai kejadian letupan itu,” katanya.

Mohd Iqbal juga memberitahu, kes telah diklasifikasikan dan disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat dengan api yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Beliau juga menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan  agar tampil memberi kerjasama dengan pegawai penyiasat Asisten Supritendan Mohammad Khairi di talian 012-266 6025 bagi membantu siasatan polis.-MalaysiaGazette