Antara pekerja Indonesia yang cuba bersembunyi ketika operasi JIM diadakan di sebuah premis di Shah Alam, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan pasangan suami isteri bergelar ‘Datuk dan Datin’ yang menjalankan kegiatan ejen pembantu rumah asing (PRA) secara haram bersama 13 wanita warga Indonesia.

Semua wanita itu ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sebuah kediaman pasangan itu di Shah Alam, Selangor pada 16 Februari lalu hasil maklumat aduan orang awam dan risikan JIM.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua wanita Indonesia yang berumur 22 tahun hingga 47 tahun itu didapati masuk ke negara ini dengan menyamar sebagai pelancong menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS).

Mereka didapati tinggal di rumah pasangan itu.

”Warga Indonesia tersebut akan dibekalkan sebagai pembantu rumah dan juga pekerja pembersihan. Mereka akan dikenakan bayaran antara RM3,500 hingga RM4,500 seorang sebagai bayaran perkhidmatan mengurus kemasukan yang akan dipotong melalui gaji bulanan.

“Dipercayai pasangan ini menjalankan aktiviti mengurus kemasukan dan pembekalan pembantu rumah secara haram bersama-sama ejen yang dikenali dari Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

13 wanita Indonesia yang ditahan JIM hasil maklumat dan risikan.

Khairul Dzaimee menambah, ‘Datuk’ yang berumur 66 tahun bersama pasangannya beruai 56 tahun disiasat di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen kerana disyaki membenarkan mana-mana pendatang tanpa izin (PATI) memasuki atau tinggal di dalam premis yang ianya mempunyai kepentingan sebagai penyelia atau menguruskan atau mempunyai kawalan ke atas mana-mana premis tersebut.

Manakala Kesemua warga asing tersebut ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan-kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) dan juga kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Kes akan turut dirujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kementerian Sumber Manusia berkait aktiviti pengambilan dan pembekalan pekerja yang dijalankan tanpa lesen yang sah.

Khairul Dzaimee menambah, JIM sentiasa memantau aktiviti penawaran pembantu rumah asing dan pekerja pembersihan harian secara tidak sah ini termasuk di media-media sosial oleh individu atau ejen haram.

JIM turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan aktiviti ini dan sentiasa merujuk kepada maklumat terkini dari JIM dan juga Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kementerian Sumber Manusia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Mengapa warga asing tu ditahan dan dinyatakan melakukan kesalahan,, jika merujuk pd pernyataan diatas yg datuk & datin tu bekerja sama dgn agen haram diindonesia, maknanya pekerja² itu adalah mangsa penipuan yg dijanjikan utk bekerja dimalaysia, kemasukan mereka kenegara malaysia ianya sudah pun diatur oleh agen, bkn dr kemahuan mereka. Lain cerita jika masuk sendiri dgn menggunakan PLS

Comments are closed.