KUALA LUMPUR – Persatuan Pengundi Muda (UNDI 18) menyifatkan penahanan dua pelajar yang didakwa menggunakan kata-kata kesat ketika meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap soalan dalam kertas sejarah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai tindakan yang tidak wajar dan kurang tepat.
Menurut UNDI 18, tindakan itu secara tidak langsung akan mengganggu fokus dan emosi pelajar-pelajar berkenaan yang masih menduduki peperiksaan SPM.
Katanya, pelajar-pelajar sekolah terbabit tidak mampu memberi sebarang ancaman serta menggugat ketenteraman awam menerusi video yang tular.
“Kandungan video tersebut hanya bersifat gurauan serta jenaka sesama rakan sebaya bagi menghilangkan tekanan setelah menjawab soalan peperiksaan yang mungkin pada pandangan mereka agak sukar untuk dijawab.
“Namun, satu kesilapan yang dilakukan oleh kumpulan pelajar terbabit apabila memuat naik video tersebut menerusi aplikasi TikTok,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Semalam, polis menahan dua remaja lelaki berumur 18 tahun bagi membantu siasatan video tular tersebut setelah menerima laporan daripada seorang guru wanita.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
UNDI 18 berpandangan, kedua-dua remaja berkenaan mungkin kurang menerima pendedahan mengenai kesan penggunaan media sosial untuk tujuan yang salah.
Tambahnya, guru berkenaan seharusnya membuat laporan kepada sekolah kedua-dua pelajar itu terlebih dahulu agar langkah proaktif seperti nasihat dapat diambil.
“Meskipun begitu, perkara ini telah terjadi dan sudah semestinya memberikan kesan mendalam terhadap mental dan emosi pelajar terbabit yang mungkin pada masa akan datang, mereka lebih takut untuk mengekspresikan kebebasan bersuara.
“Walaupun dalam konteks kebebasan bersuara ada had tertentu, rosedur tindakan yang dikenakan ke atas pelajar terbabit juga perlu adil dengan mengikut tapisan prosedur tertentu dan tidak seharusnya melangkaui bidang kuasa pihak sekolah sehingga melibatkan kes polis,” jelasnya.
UNDI 18 juga berharap agar insiden tersebut memberi iktibar kepada semua pihak agar ia tidak berulang lagi pada masa akan datang. – MalaysiaGazette
Apa pun soalan sebagai pelajar kena ambil tahu semua subjek terutama sejarah..baru orang kata tak buta sejarah..jgn tahu Tik tok, lato lato,pubG sahaja.