Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas Forum Antarabangsa Pendekatan MADANI Mendepani Cabaran Islamofobia di Kompleks F, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 27 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Cadangan Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk menaikkan gaji dan pendapatan penjawat awam hanya menyebabkan defisit negara meningkat kepada 6.5 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjawat awam perlu bersabar sedikit sementara kerajaan mendepani hutang negara dan membantu rakyat yang miskin tegar.

“Masalah kita hutang RM1.2 trilion, defisit 5.6 peratus. Kalau tambah gaji, defisit jadi 6.5 peratus, tak ada orang nak datang melabur lagi dekat negara kita.

“Dia tak yakin ada kekuatan tekad politik untuk mengurus negara ini dengan baik.

“Jadi sabarlah sekejap, itu pun daripada hasil yang banyak itu, saya curahkan juga (peruntukan),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa: Malaysia Madani mendepani Cabaran Islamfobia di sini hari ini.

Pada Sabtu lalu, Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat melahirkan kekecewaan berhubung Belanjawan 2023 yang didakwa tidak mampu menyelesaikan masalah tekanan kos sara hidup dihadapi oleh penjawat awam ketika ini.

Beliau berkata, tiada sebarang komitmen diberikan kerajaan bagi menilai semula sistem saraan baharu perkhidmatan awam melalui model gaji dan upah yang mampu meningkatkan pendapatan penjawat awam.

Dalam pada itu, Perdana Menteri kini memberi keutamaan untuk membantu golongan B40 dan ke bawah yang berdepan dengan kesulitan meneruskan kelangsungan hidup.

“Apakah dia tidak penting untuk kita selamatkan orang yang miskin tegar, yang lebih teruk daripada semua pekerja yang ada.

“Saya nak bagi tahu tidak mudah untuk bantu pesawah padi, pekebun kecil getah, nelayan, ini semua orang susah dan miskin tegar.

“Bagi saya ini, dia nak hidup, kita sekurang-kurangnya hidup susah, dia nak hidup pun susah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

CUEPACS kecewa Bajet 2023 tidak mampu selesaikan tekanan kos sara hidup penjawat awam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast