Adnan Mat Cuepacs RM1,800 gaji minimum wage civil servants public sector
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) kecewa apabila Bajet 2023 dilihat tidak mampu menyelesaikan tekanan kos sara hidup yang dihadapi oleh penjawat awam.

Presidennya, Adnan Mat berkata, menerusi pembentangan bajet oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiada komitmen yang disuarakan kerajaan untuk menilai semula sistem saraan baharu perkhidmatan awam.

“Faktor gaji dan upah menjadi perkara yang mendesak pada ketika ini kerana kadar semasa dilihat tidak lagi relevan dengan peningkatan kos sara hidup yang naik dengan begitu mendadak terutama melibatkan keperluan asas seperti makanan, kesihatan dan perumahan,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau, insiatif kerajaan mengurangkan cukai pendapatan individu tidak memberi kesan besar kepada pendapatan boleh guna rakyat terutamanya penjawat awam.

Jelas beliau, lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300 melalui pengurangan cukai ini tidak menggambarkan situasi sebenar rakyat pada waktu ini.

“Penjawat awam ketika ini mengharapkan sebuah sistem saraan yang baharu memandangkan sistem saraan perkhidmatan awam yang digunapakai ketika ini sudah lama tidak dikaji iaitu sejak November 2002 dan tidak sesuai lagi dengan persekitaran ekonomi semasa.

“Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kunci kepada negara untuk keluar daripada kancah kos sara hidup ini ialah dengan kaedah meningkatkan gaji dan upah pekerja disamping melaksanakan langkah-langkah mengawal kenaikkan kos sara hidup,” ujarnya.

Selain itu Adnan berkata, isu pemilikan rumah dalam kalangan penjawat awam juga tidak ditumpukan dalam Bajet 2023.

Katanya, konsep rumah mampu milik seperti Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) yang dikhususkan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu diperluaskan kepada semua penjawat awam.

“Penjawat awam tidak meminta perumahan percuma kerana kami sanggup membelinya tetapi harga yang ditawarkan oleh pemaju ketika ini sangat tidak masuk akal dengan kadar gaji semasa penjawat awam,” tambah Adnan.

Sehubungan itu katanya, CUEPACS memohon kerajaan mempertimbangkan semula permintaan penjawat awam khususnya melibatkan tindakan yang perlu dilaksanakan bagi menangani kos sara hidup.

“Sebelum ini sudah beberapa kali kerajaan mahu mengkaji sistem saraan perkhidmatan awam namun sehingga kini tiada apa-apa perkembangan atau khabar gembira yang diterima. Adalah besar harapan penjawat awam sekiranya kerajaan dapat mempertimbangkan pandangan dan keluhan kumpulan yang selama ini memberi sokongan yang penuh kepada agenda serta aspirasi kerajaan,” jelasnya.

Bagaimanapun Adnan mengucapkan penghargaan kepada kerajaan di atas inisiatif meneruskan kebenaran penebusan awal Gantian Cuti Rehat sehingga 50 peratus iaitu maksimum 90 hari serta pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.

Beliau berkata, inisiatif ini merupakan perkara yang telah dilaksanakan oleh kerajaan-kerajaan sebelum ini dan kekal diteruskan oleh kerajaan semasa. – MalaysiaGazette