Sabah Sarawak
Fadillah Yusof. Foto MUHD NA’IM, 31 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan yuran permulaan bagi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penglibatan golongan belia di luar bandar dan Orang Asli dalam TVET akan dapat ditingkatkan sekiranya yuran dapat dikurangkan.

“Kita perlu memberi kesedaran yang lebih kepada penduduk luar bandar dan Orang Asli untuk terlibat bersama, dan perlu melibatkan ibu bapa supaya mereka akan bertahan kekal dalam latihan TVET dengan itu.

“Kalau ini dapat dipertimbangkan (yuran permulaan) untuk membantu mereka lebih ramai belia khususnya Orang Asli dapat terlibat latihan TVET,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT), hari ini.

Katanya, program TVET sememangnya merangkumi semua kawasan di negara ini termasuk di luar bandar.

“Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Pendidikan Tinggi mengadakan program berhubung dengan TVET untuk Orang Asli memang ada program khusus dilaksanakan anjuran bersama Persatuan Orang Asli Perak yang mana Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Ipoh telah mengadakan program ini,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman (PH) berkenaan inisiatif kerajaan untuk mempertingkatkan belia di dalam bidang TVET terutamanya belia di luar bandar dan Orang Asli. – MalaysiaGazette