KUALA LUMPUR – Filem berjudul Anwar, The Untold Story yang mengisahkan perjalanan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memerangi korupsi di peringkat nasional akan diangkat ke layar perak pada Mei ini.
Penerbit eksekutif filem tersebut, Zulkiflee Anwar Haq atau lebih dikenali Zunar berkata, usaha untuk menghasilkan filem itu telah bermula sejak 2011, namun terdapat banyak kekangan menyebabkan penerbitannya tidak dapat dijalankan lebih awal.
Jelas beliau, karya itu berkisarkan daripada sejarah sebenar yang berlaku sepanjang kehidupan Anwar ketika mula menjawat jawatan sebagai Menteri Kewangan pada 1993 hingga dipecat pada 1998.
“Cerita dalam filem ini versinya daripada Anwar sendiri, ada juga versi yang jarang didengari oleh rakyat Malaysia, ada juga yang tidak tahu dan kita buat semula daripada public domain tetapi yang terpendam, contohya cerita laporan siasatan lengkap beliau ketika dalam lokap.
“Sama ada ia diterima sebagai kebenaran, terpulang kepada penonton, tetapi kami sudah berusaha semaksimum mungkin mengambil cerita-cerita yang tercatat dalam perundangan dan hasil temu bual dengan orang yang terlibat,” katanya pada majlis pelancaran filem itu, di ibu negara, hari ini.
Filem terbabit diterbitkan menerusi produksi Bianglala Entertainment dengan sentuhan pengarah Indonesia , Viva Westi.
Turut dibintangi pelakon terkenal iaitu Farid Kamil Zahari, Hasnul Rahmat, selain dibantu pelakon dari Indonesia seperti Acha Septriasa, Piet Pagau dan Dewi Irawan.
Tambah Zunar, penerbitan karya itu bertujuan memberi pendidikan selain mengangkat semangat juang dalam kalangan rakyat Malaysia untuk memerangi rasuah.
“Filem ini saya berharap ia mendapat sambutan yang sangat baik kerana kita terapkan dua perkara iaitu pendidikan tentang rasuah dan banyak yang menganggap rasuah itu adalah sedekah, itu bukan sedekah.
“Sekarang namanya dibeza-bezakan kalau orang bagi hadiah, itu bukan rasuah. Dalam filem ini ada adegan pemberian hadiah itu ditolak, kerana itu diberi sebagai hadiah ia tetap dianggap rasuah.
“Yang kedua, adakah kebanyakkan tokoh-tokoh politik di negara ini hanya berani bercakap melawan rasuah, tetapi tidak berani untuk menolak rasuah bila wang itu ada didepan mata.
“Dalam filem ini, kita tunjukkan wang ada di depan mata, tetap ditolak. Jadi dua perkara ini akan memberi semangat pada orang ramai untuk mengikut langkah tokoh seperti Anwar berani mempertahankan prinsip melawan rasuah,” ujarnya.
Ditanya sama ada penerbitan filem itu bersempena dengan pelantikkan Anwar sebagai Perdana Menteri, beliau menjawab, pembikinannya itu sudah berjalan semenjak 2021.
“Karya ini kita sudah usahakan sebelum beliau (Anwar) menjadi Perdana Menteri lagi, dan kita ketika itu tidak menyangka yang dia akan jadi Perdana Menteri.
“Dalam filem ini juga, banyak penggambaran dijalankan di Indonesia atas beberapa faktor halangan antaranya izin shooting dan pelbagai lagi,” jelasnya. – MalaysiaGazette