Gambar hiasan.

MARANG – Seorang guru tahfiz meninggal dunia selepas lemas ketika mandi di Pantai Angulia, dekat sini, pada 9.55 pagi tadi.

Mangsa, Nabil Husaini Halimun Nawar, 22, yang berasal dari Selangor merupakan seorang tenaga pengajar di Maahad Tahfiz Al-Azhariah di Seksyen 18, Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zain Mat Deris berkata, menurut laporan, mangsa bersama 35 pelajar dan lima tenaga pengajar lain datang ke kawasan berkenaan untuk menjalani kem pemantapan iman.

Beliau berkat, selepas selesai aktiviti sukaneka, mangsa bersama seorang pelajar mengambil kesempatan mandi di pantai sebelum dihanyutkan arus ke tengah laut.

“Kejadian itu disedari oleh seorang pelajar yang melihat mangsa meminta tolong dari tengah laut. Pelajar itu bergegas meminta pertolongan dari pekerja resort berada berdekatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Zain berkata, mangsa berjaya dibawa naik ke darat oleh pekerja resort dalam keadaan tidak bergerak dan disahkan meninggal dunia sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.

“Mangsa bersama rombongan pelajar tiba di Terengganu pada 26 Februari lepas dan mereka sepatutnya pulang ke Selangor hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zain turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan merujuk ramalan cuaca dalam laman web atau media sosial sebelum menjalankan sebarang aktiviti di air.

“Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora yang menyebabkan kenaikan paras laut di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur sehingga 6 Mac ini.

“Jadi saya nasihatkan supaya orang ramai tangguhkan dulu aktiviti di pantai kerana ia berbahaya dan tak dapat dijangka,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast