KUCHING – Kira-kira 400 murid keluarga asnaf dan B40 di Sarawak menarik nafas lega apabila menerima bantuan persekolahan daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR).
Bantuan RM100 tiap seorang itu sekurang-kurangnya dapat meringankan beban keluarga mereka dalam menyediakan pakaian dan peralatan sekolah, sebelum sesi persekolahan bermula 20 Mac ini.
Menurut Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, sebanyak RM40,000 peruntukan disediakan dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan Bank Negara Malaysia (BNM) Kuching.
Beliau berharap, bantuan itu dapat membantu ketua keluarga murid berkenaan membuat persiapan membeli kelengkapan sekolah anak mereka.
“Semua 400 murid ini menerima bantuan melalui program bantuan persekolahan YBR dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan Bank Negara Malaysia Kuching.
“Bantuan tunai RM100 setiap murid dari kalangan asnaf dan keluarga B40 ini bagi membantu ibu bapa atau penjaga membuat persediaan untuk sesi persekolahan anak mereka yang akan bermula dua minggu lagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Syaiful Rizal menyempurnakan penyerahan itu di Masjid Darul Rahmah Tambirat, Kuching.
Turut hadir, Ketua BNM Kuching, Mohd Irman Mohd Din; Pengurus Bank Rakyat Cawangan Kota Samarahan, Halmi Nim Mosli; Pengerusi Masjid Darul Rahmah, Kampung Tambirat, Saini Gapor; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd. Rahman; dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Syaiful Rizal berkata, dalam keadaan ekonomi yang masih tidak stabil ketika ini, beliau berharap bantuan tunai ini sedikit sebanyak dapat meringankan urusan kewangan mereka.
Katanya, bantuan itu adalah khusus untuk murid keluarga asnaf dan B40 sekitar Kuching dan Mukah bagi memberi semangat dan motivasi kepada mereka untuk belajar.
“Usaha ini juga salah satu strategi kita dalam mengurangkan kadar ketidakhadiran murid ke sekolah terutama sekitar luar bandar akibat kemiskinan.
Sepanjang tahun lalu, kata beliau, seramai 26,604 murid telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan kira-kira RM2.6 juta melibatkan 87 lokasi di seluruh negara. – MalaysiaGazette