SEGAMAT – Tiada apa yang lebih menyedihkan pasangan suami isteri apabila melihat ribuan buku dan barangan keperluan sekolah bernilai hampir RM1 juta rosak selepas premis perniagaan mereka di Jalan Genuang, di sini terjejas akibat banjir Rabu lalu.
Lebih dikesalkan, sebahagian daripada barangan itu baharu sahaja ditempah beberapa minggu lalu sebagai persediaan jualan pembukaan tahun baharu sesi persekolahan 2023 bermula 19 dan 20 Mac ini.
Jason Ng Wai Kin, 43, berkata, dia hanya mampu melihat semua barangan itu yang ditempatkan di tiga lot kedai diusahakan isterinya, Joyce Pang, 43, musnah kerana tiada di kedai ketika banjir besar melanda Rabu lalu.
“Waktu kejadian, saya dan isteri berada di Thailand atas urusan perniagaan dan sebaik sahaja pulang, kami terkejut melihat dalam kedai dipenuhi banjir lumpur setinggi hampir 0.5 meter.
“Semua buku dan peralatan keperluan sekolah yang baharu ditempah berjumlah lebih RM600,000 rosak akibat banjir selain barangan lain yang keseluruhannya dianggarkan berjumlah hampir RM1 juta,” katanya ketika ditemui di premisnya di sini.
Menurutnya, kejadian banjir itu adalah kali ketiga dihadapi bermula pada Disember 2006 dan Januari 2011 yang sepatutnya boleh dielak jika kerajaan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya.
“Bandar Segamat ini adalah pusat perniagaan yang tidak sepatutnya berlaku banjir sebesar ini mengakibatkan ramai peniaga mengalami kerugian wang ringgit, masa dan tenaga.
“Kalau kami hendak pindah pun susah kerana sudah hampir 30 tahun perniagaan saya bertapak di lokasi yang strategik ini,” katanya yang turut kerugian apabila premis jualan keperluan farmasi miliknya di premis bersebelahan juga rosak.
Sehubungan itu, jelasnya dia berharap kerajaan dapat melakukan langkah penyelesaian jangka panjang yang bukannya hanya sekadar menyalurkan sumbangan sekali bayar kepada mangsa banjir di daerah ini.
“Adalah lebih baik jika kerajaan segera bertindak memastikan bencana begini tidak berulang sekali gus menamatkan kesengsaraan peniaga dan penduduk,” katanya. – MalaysiaGazette.