Zabidi Mohamed

KUALA LUMPUR – Penulis Zabidi Mohamed yang disaman berkaitan filem Mentega Terbang mengajak pengikut di media sosialnya untuk bersama-sama ‘melawan’.

Zabidi yang mendakwa kandungan filem terbabit antara lain bertujuan memurtadkan umat Islam berkata, pejuangan tersebut demi Allah dan rasul.

“Jom! Kita lawan! Sama-sama kita lawan! Demi Allah dan rasul. Kebenaran hanya dengan Islam,” kata Zabidi.

Beliau menerima notis daripada peguam yang mewakili pasukan Mentega Terbang bertarikh 3 Mac lalu antara lain memintanya untuk membuat permohonan maaf secara terbuka atas kenyataan yang dibuat terhadap pasukan filem terbabit.

Bagaimanapun Zabidi bertegas untuk berdepan saman ‘demi menjaga akidah umat Islam di Malaysia’.

“Jika ada peguam-peguam muslim yang ingin bersama-sama saya dalam menjaga kesucian agama Islam boleh PM saya. Kebenaran hanya dengan Islam. Allahuakbar,” katanya.

Terdapat beberapa pengikut FB penulis berkenaan dalam ruangan komen meminta Zabidi untuk membuka tabung supaya mereka boleh turut membiyai kos peguam.

Pengarah dan penulis skrip filem Mentega Terbang Mohd Khairi Anwar Jailani dalam kenyataan sebelum ini berkata, tindakan saman diambil susulan penulisan Zabidi di Facebook yang mendakwa filem tersebut menghina, meremeh, merendah-rendahkan, memperleceh, menodai dan mempersendakan agama Islam.

“Kami merujuk kepada kenyataan-kenyataan dibuat Zabidi Mohamed di laman Facebooknya masing-masing pada tarikh 25 Februari, 2 Mac dan 3 Mac yang tersebar secara meluas sejak beberapa hari lalu,” katanya.

Khairi turut memuat naik notis tuntutan daripada peguam yang dilantik bertajuk Fitnah Terhadap Penerbit, Direktor Dan Penulis-Penulis Skrip Filem Mentega Terbang yang dihantar kepada Zabidi bertarikh 3 Mac.

Notis itu turut mendakwa penulisan Zabidi adalah tidak benar, berniat jahat dan fitnah. Ia juga bertujuan untuk menjejaskan imej, reputasi dan kredibiliti mereka untuk mendatangkan kutukan dan ancaman.

Zabidi yang juga bekas majistret dan peguam juga perlu memberi maklum balas dalam masa 48 jam dari tarikh notis ini dikeluarkan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast