Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Sambutan Hari Hasil 2023 di Menara Hasil, Cyberjaya. Foto MOHD ADZLAN, 06 MAC 2023.

PUTRAJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) digesa memburu golongan yang wajib membayar cukai agar tidak terlepas menjalankan tanggungjawab mereka kepada negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya usaha itu dilakukan dengan lebih agresif, prestasi hasil negara mampu menjadi lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, LHDN wajib ‘mengeledah’ mereka yang enggan membayar cukai tanpa mengira individu itu rakan atau penyokongnya.

“Kalau saudara lihat, pimpinan silih berganti dalam negara kita, ada yang kata mereka itu bersih tetapi sistem itu tercemar.

“Tanggungjawab saudara ialah melihat prestasi yang baik dan mencari (cara) supaya negara kita terangkat semula sebagai negara hebat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Hasil Ke-27 di sini, malam ini.

Anwar Ibrahim bergambar bersama penerima Anugerah Most Outstanding Hasilian Tahun 2022 pada Majlis Sambutan Hari Hasil 2023 di Menara Hasil, Cyberjaya. Foto MOHD ADZLAN, 06 MAC 2023.

Anwar menambah, sebagai pemimpin yang diberi amanah memimpin kerajaan , beliau mahu rakyat sama ada kecil atau maha kaya patuh kepada undang.

Justeru tegas beliau, menjadi tanggungjawab kakitangan LHDN melaksanakan tugas mereka agar hasil negara akan terus meningkat lebih daripada prestasi yang cukup baik dicatatkan tahun lalu.

Beliau turut memberitahu antara sebab beliau memperkenalkan Malaysia Madani agar dapat penjanaan pertumbuhan menerusi hasil kerajaan yang meningkat.

Namun beliau sedar, ketirisan dan kebocoran tetap berlaku di negara ini.

“Buat tender kalau kosnya RM2 bilion, RM200 juta memang lesap dan saya tidak tokok tambah, ini bukan kerja yang popular kerana ramai orang marahkan saya dalam TikTok kerana buat tuduhan dan fitnah.

“Saya tidak tuduh, tetapi ini memang perkara yang benar berlaku. Jadi orang yang kadang-kadang bicara soal hidup bangsa, tetapi rupanya khianat kepada bangsa.

“Kadang-kadang bicara soal Islam dengan kopiah dan jubahnya, dipertahankan perasuah…saya bingung untuk apa kita hidup tanpa nilai dan akhlak,” katanya.

Pada masa sama, Anwar turut memberi jaminan untuk membebaskan lebih 130,000 orang daripada kemiskinan tegar tahun ini.

“Tahun ini kita mulakan gerakan supaya anak-anak kita di sekolah tidak pergi sekolah dengan tandas rosak…sebab itu saya ambil ketetapan tahun ini belanja RM1 bilion untuk sekolah dan klinik daif,” katanya. – MalaysiaGazette

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail beramah mesra bersama penari ketika hadir pada Majlis Sambutan Hari Hasil 2023 di Menara Hasil, Cyberjaya. Foto MOHD ADZLAN, 06 MAC 2023.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast